ALEPPO: Kumpulan pemberontak dan sekutu yang disokong Turkiye menceroboh bandar Aleppo di Syria ketika mereka melancarkan serangan kilat terhadap tentera kerajaan yang disokong Iran dan Russia.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, kumpulan itu menguasai separuh bandar Aleppo ketika tentera rejim Presiden, Bashar al-Assad.
Serangan bermula pada Rabu, hari yang sama gencatan senjata yang rapuh berkuat kuasa di negara jiran Lubnan antara Israel dan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.
Kumpulan pemantau berpangkalan di Britain berkata, pertempuran pada mulanya sengit dengan 277 orang terbunuh.
Jjumlah korban termasuk 28 orang awam, kebanyakannya terbunuh oleh serangan udara Russia.
Menjelang petang semalam, kumpulan pemberontak dan sekutu mereka menawan lebih 50 pekan dan kampung di utara sebelum memasuki daerah barat Aleppo.
Bandar berpenduduk padat dengan kira-kira dua juta orang itu merupakan hab pembuatan sebelum perang saudara Syria bermula.
“Para pejuang dengan pantas menawan separuh daripada Aleppo tanpa mendapat tentangan ketara.
“Tiada pertempuran, tiada satu pun tembakan dilepaskan, ketika tentera rejim berundur,” kata Pengarah kumpulan pemantau, Rami Abdel Rahman.
Rami berkata, tentera kerajaan sama sekali tidak bersedia untuk serangan itu.
“Adalah pelik untuk melihat pasukan rejim menerima pukulan yang begitu hebat walaupun terdapat perlindungan udara Russia dan tanda-tanda awal bahawa kumpulan Hayat Tahrir al-Sham akan melancarkan operasi ini.
“Adakah mereka bergantung kepada Hezbollah, yang kini sibuk di Lubnan?” katanya.-AFP










