Pemberontak Syria lancar serangan mengejut tawan Aleppo

Pemberontak Syria lancar serangan mengejut tawan Aleppo

ANGGOTA kumpulan pemberontak anti-kerajaan bergambar di hadapan kubu mercu tanda bandar Aleppo di Syria.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMMAN: Pihak berkuasa Syria menutup lapangan terbang serta semua jalan menuju ke Aleppo ketika pemberontak yang menentang Presiden, Bashar al-Assad mendakwa sudah menguasai majoriti bandar itu.

Pejuang pembangkang, yang diketuai oleh kumpulan Hayat Tahrir al-Sham, melakukan serangan mengejut di bandar-bandar yang dikuasai kerajaan minggu ini dan tiba di Aleppo hampir sedekad selepas dihalau Assad dan sekutunya.

Menurut sumber, Russia yang merupakan sekutu utama Assad menjanjikan Damsyik bantuan ketenteraan tambahan untuk menggagalkan pemberontak, dengan perkakasan baharu dilaporkan akan tiba dalam tempoh tiga hari.

“Tentera Syria diberitahu untuk mengikut arahan pengunduran selamat dari kawasan utama bandar yang dimasuki pemberontak,” kata tiga sumber tentera.

Pemberontak memulakan pencerobohan mereka Rabu lalu dan menjelang lewat petang Jumaat, sebuah bilik gerakan yang mewakili serangan itu mendakwa sudah mengepung beberapa kawasan kejiranan Aleppo.

Kumpulan pemberontak kembali ke Aleppo buat kali pertama sejak Assad dan sekutunya, Russia, Iran dan kumpulan Syiah serantau merampasnya semula pada 2016.

Komander dalam briged pemberontak Jaish al-Izza, Mustafa Abdul Jaber berkata, kemajuan pantas mereka minggu ini dibantu oleh kekurangan tenaga kerja yang disokong Iran di wilayah Aleppo yang lebih luas.

Sekutu Iran di rantau itu mengalami beberapa siri tamparan di tangan Israel ketika perang Gaza berkembang ke negara-negara Asia Barat.

Pejuang pembangkang berkata, kempen itu sebagai tindak balas kepada serangan terhadap orang awam oleh tentera udara Russia dan Syria di kawasan Idlib yang dikuasai pemberontak.

Sumber pembangkang yang berhubung dengan perisikan Turkiye berkata, Ankara yang menyokong pemberontak telah memberi lampu hijau kepada serangan itu.

Tetapi jurucakap kementerian luar Türkiye, Oncu Keceli berkata, pihaknya berusaha untuk mengelakkan ketidakstabilan yang lebih besar di rantau itu, malah sudah memberi amaran serangan minggu ini menjejaskan perjanjian dengan Russia untuk meredakan konflik.

Timbalan Koordinator Kemanusiaan Serantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Krisis Syria, David Carden turut menyatakan kebimbangan dengan situasi terkini yang berlaku di barat laut Syria.

“Serangan tanpa henti sejak tiga hari lalu sudah meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa orang awam, termasuk kanak-kanak seawal usia 8 tahun,” katanya.

Agensi berita SANA melaporkan, empat orang awam termasuk dua pelajar turut terbunuh akibat serangan pemberontak di asrama pelajar universiti di Aleppo.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, Moscow menganggap serangan pemberontak itu sebagai pencabulan kedaulatan Syria.

“Kami memihak kepada pihak berkuasa Syria untuk mengawal keamanan di kawasan itu dan memulihkan perintah perlembagaan secepat mungkin,” katanya.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN