Negara pengeluar pertahan bahan api fosil di COP29

Negara pengeluar pertahan bahan api fosil di COP29

PEMIMPIN dan perwakilan dunia bergambar semasa menghadiri Persidangan Perubahan Iklim COP29 di Baku, Azerbaijan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAKU: Pemimpin negara yang dilanda bencana iklim merayu pada sidang kemuncak Persidangan Perubahan Iklim (COP29) agar dunia lebih serius memerangi pemanasan global. 

Sebaliknya negara-negara pengeluar lain pula mempertahankan bahan api fosil dan hak mereka untuk mengeksploitasinya.

Lebih 75 pemimpin berucap selama dua hari di Baku, tetapi majoriti ketua negara pencemar utama cuba melewatkan rundingan iklim PBB di ibu negara Azerbaijan.

BAHAN API FOSIL ANUGERAH TUHAN

Persidangan itu diadakan selepas saintis mengesahkan tahun paling panas dalam rekod, dengan pemanasan didorong terutamanya oleh pembakaran arang batu, minyak dan gas.

Dalam ucapan pembukaan sebagai tuan rumah, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev berkata, negaranya bersama pengeluar minyak dan gas utama lain tidak boleh dipersalahkan.

“Petik kata-kata saya, bahan api fosil ini adalah anugerah Tuhan dan saya mahu mengulanginya hari ini.

“Minyak, gas, angin, matahari, emas, perak, tembaga, semuanya adalah sumber asli.

“Negara tidak boleh dipersalahkan kerana memilikinya dan tidak boleh dipersalahkan kerana membawa sumber ini ke pasaran, kerana pasaran memerlukannya, ” kata Aliyev kepada perwakilan di stadium berhampiran Laut Caspian.

Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban juga mempertahankan bahan api fosil dan berkata, industri itu tidak seharusnya ‘menderita’ dalam memerangi perubahan iklim.

“Kita mesti terus memajukan peralihan hijau sambil mengekalkan penggunaan gas asli, minyak dan tenaga nuklear,” katanya.

Penganalisis Inisiatif Perjanjian Bukan-Proliferasi Bahan Api Fosil, Alex Rafalowicz berkata, negara tidak bersalah kerana mempunyai sumber asli tetapi mereka bertanggungjawab terhadap sebarang ancaman yang ditimbulkan kepada kehidupan sejagat.

Beberapa pemimpin dari negara G20 yang menyumbang hampir 80 peratus pelepasan global tiba di Baku namun Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri India, Narendra Modi tidak kelihatan.

ISU DANA PERUBAHAN IKLIM

Tugas utama untuk hampir 200 negara pada sidang kemuncak iklim COP29 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah untuk menjadi perantara perjanjian yang memastikan pembiayaan sehingga berbilion dolar bagi projek iklim di seluruh dunia.

Negara-negara kepulauan dan yang sedang berdepan peperangan kurang dipertanggungjawabkan terhadap perubahan iklim tetapi kebanyakannya berisiko berdepan kenaikan paras laut, bencana besar dan kejutan ekonomi.

“Realitinya ialah kejadian cuaca ekstrem yang dihadapi dunia setiap hari menunjukkan bahawa manusia dan planet ini sedang menuju ke arah malapetaka,” kata Perdana Menteri Barbados, Mia Mottley.

Ada yang mendesak agar ikrar sedia ada sebanyak AS$100 bilion (RM447 bilion) setahun dinaikkan sepuluh kali ganda pada COP29 untuk menampung kos masa depan peralihan kepada tenaga bersih dan menyesuaikan diri dengan kejutan iklim.

Negara-negara anggota kerap tawar-menawar mengenai perkara ini selama bertahun-tahun, dengan perselisihan tentang berapa banyak yang harus dibayar dan siapa yang harus bertanggungjawab membayarnya.

Kemenangan Trump dalam pilihan raya baru-baru ini membayangi perbincangan COP29, kerana jangkaan beliau akan menghentikan sumbangan kewangan iklim terbesar dari AS.

Sesetengah perunding iklim juga menjangkakan sasaran keseluruhan yang dipersetujui pada COP29 adalah lebih kecil, memandangkan jangkaan kekurangan sumbangan daripada ekonomi terbesar dunia itu.

Pengerusi blok Uganda, Adonia Ayebare yang mengumpulkan lebih 100 negara membangun dan China berkata, mereka telah menolak draf perjanjian di Baku.

Negara membangun memberi amaran, tanpa kewangan yang mencukupi, mereka akan bergelut untuk menawarkan kemas kini bercita-cita tinggi kepada matlamat iklim yang perlu dikemukakan pada awal tahun depan.

Pemimpin dari negara yang terdedah kepada iklim termasuk Maldives memberi amaran mereka memerlukan sumber kewangan dari COP untuk merealisasikan matlamat iklim mereka.

“Kami melihat dana mengalir dengan bebas untuk misi peperangan, tetapi terlalu diteliti apabila ia untuk penyesuaian iklim,” kata Presiden Maldives, Mohamed Muizzu.

Sekumpulan kecil negara maju yang membayar pembiayaan iklim mahu kumpulan penderma diperluaskan untuk merangkumi ekonomi sedang pesat membangun seperti China dan negara Teluk, sesuatu yang ditolak dengan tegas oleh Beijing.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menegaskan, usaha perlu diselaraskan dalam sidang kemuncak tahun ini kerana negara membangun tidak boleh meninggalkan Baku dengan ‘tangan kosong’.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×