TEL AVIV: Menteri Pertahanan Israel yang baharu, Israel Katz, mengumumkan pemansuhan perintah tahanan pentadbiran terhadap peneroka haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki.
Langkah itu dilihat sebagai satu lagi bentuk amalan apartheid rejim terhadap rakyat Palestin dan seakan memberi lampu hijau kepada peneroka haram untuk menyerang penduduk di kawasan itu.
Walaupun amalan tahanan pentadbiran ini lazimnya digunakan terhadap rakyat Palestin yang dipenjarakan di Israel, ia turut digunakan ke atas segelintir peneroka haram yang disifatkan sebagai pelampau Yahudi.
Di bawah perintah ini, individu boleh ditahan tanpa pertuduhan selama enam bulan dan penahanan tersebut boleh dilanjutkan tanpa had masa.
Perintah ini juga membolehkan pendakwa tentera menyembunyikan bukti daripada suspek.
Dalam kenyataannya, Katz mendakwa penempatan haram Israel di Tebing Barat berdepan ancaman keganasan Palestin yang serius dan dikenakan sekatan antarabangsa yang disifatkannya sebagai tidak wajar.
“Adalah tidak sesuai bagi Israel untuk mengambil langkah yang begitu tegas terhadap penduduk di penempatan ini,” katanya.
Katz turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Shin Bet, Ronen Bar, minggu ini untuk keputusan tersebut.
Menurut kumpulan advokasi Peace Now, tindakan ini dilihat sebagai usaha baharu Israel untuk membenarkan keganasan oleh penduduk penempatan haram terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang dilaporkan meningkat sejak Oktober 2023.
“Pembatalan perintah penahanan pentadbiran untuk peneroka sahaja adalah satu tindakan sinis dan seumpama menormalkan keganasan Yahudi yang semakin meningkat di bawah perlindungan perang,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Kumpulan tersebut berkata, sabitan terhadap pelaku Yahudi yang terlibat dalam serangan sedemikian amat jarang berlaku, dengan kebanyakan pertuduhan digugurkan.
Menurut kumpulan hak asasi Israel B’Tselem, pihak berkuasa sebaliknya menggunakan penahanan pentadbiran secara meluas dan rutin untuk menahan beribu-ribu rakyat Palestin dalam jangka masa yang panjang.
Kumpulan advokasi Kelab Banduan Palestin berkata, seramai 3,432 rakyat Palestin kini berada dalam tahanan pentadbiran Israel berbanding hanya lapan peneroka haram yang ditahan di bawah amalan sama bulan ini.-AFP










