BAITULMUQADDIS: Dua letusan dilaporkan berhampiran kediaman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam di pusat bandar Caesarea, lapor perkhidmatan keselamatan.
Menurut kenyataan polis dan agensi keselamatan dalaman Shin Bet, dua bom kilat mendarat di halaman luar kediaman Netanyahu dan menyifatkan insiden itu sebagai ‘serius’.
Bagaimanapun katanya, Netanyahu dan keluarganya tiada di dalam rumah ketika kejadian.
“Siasatan telah dibuka. Ini adalah insiden yang serius dan peningkatan yang berbahaya.” katanya.
Presiden Israel, Isaac Herzog mengecam insiden itu dan memberi amaran tentang peningkatan keganasan di ruang awam.
“Saya sudah bercakap dengan ketua Shin Bet dan menyatakan keperluan mendesak untuk menyiasat dan menangani mereka yang bertanggungjawab atas insiden itu secepat mungkin,” kata Herzog dalam catatan di laman X.
Setakat ini, masih tidak jelas siapa yang bertanggungjawab atas tindakan itu.
Insiden itu berlaku selepas serangan dron menyasarkan kediaman yang sama pada 19 Oktober, yang kemudiannya dituntut oleh Hezbollah.
Netanyahu pada masa itu menuduh Hezbollah cuba membunuhnya dan isterinya.
Sejak 23 September, Israel meningkatkan pengeboman terhadap sasaran Hezbollah di Lubnan, sebelum menghantar tentera daratnya selepas hampir setahun berbalas tembakan merentas sempadan berikutan perang di Gaza.
Caesarea terletak kira-kira 20 kilometer di selatan kawasan bandar Haifa, yang kerap disasarkan Hezbollah.
Sementara itu, dua orang cedera apabila sebuah rumah ibadat dibedil di Haifa oleh serangan roket berat dari Hezbollah.
Secara berasingan, tentera berkata, pihaknya telah memintas beberapa daripada kira-kira 10 peluru yang menyeberang dari Lubnan ke Israel.
Hezbollah mendakwa beberapa serangan roket ke atas utara Israel dan berkata, pihaknya menyasarkan lokasi tentera termasuk pangkalan tentera laut di kawasan Haifa.-AFP










