Yahya Sinwar hanya alasan Israel ‘halalkan’ jenayah di Gaza

Yahya Sinwar hanya alasan Israel ‘halalkan’ jenayah di Gaza

YAHYA Sinwar (tengah) melambai kepada penyokong semasa perhimpunan menyambut ulang tahun ke-35 penubuhan Hamas di Bandar Gaza, pada 14 Disember 2022.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tindak-tanduk tentera Israel menggunakan alasan memburu Yahya Sinwar dan pemimpin kanan Hamas lain untuk menghalalkan darah lebih 42,000 rakyat Gaza yang tidak berdosa menjadi persoalan sehingga kini.

Hal ini kerana, Israel menjadikan buruan Yahya sebagai alasan untuk tenteranya meneruskan keganasannya di Gaza.

Yahya Sinwar dipercayai antara dalang utama serangan pejuang Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023 dan menjadi individu paling dikehendaki rejim sejak itu.

Namun, berita pembunuhan Yahya mencetus pelbagai persoalan tentang masa depan penduduk Gaza, prospek gencatan senjata dan gelombang ketidaktentuan baharu di Asia Barat.

Banyak pihak mengandaikan pembunuhan Yahya akan mengakhiri peperangan Israel terhadap Gaza, yang sudah berlanjutan lebih setahun lalu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan kematian pemimpin Hamas itu tidak bermakna perangnya sudah berakhir.

“Walaupun ini bukan pengakhiran perang di Gaza, ia adalah permulaan kepada penghujungnya,” katanya.

PEMBUNUHAN YAHYA SINWAR

Yahya tidak muncul di khalayak ramai sejak tahun lalu dan dikatakan berlindung dalam rangkaian terowong bawah tanah yang luas selepas pembunuhan beberapa pemimpin kanan lain.

Beliau beroperasi secara rahsia dan menggunakan utusan untuk berkomunikasi tanpa alat digital.

Selama berbulan-bulan usaha rundingan gencatan senjata yang diketuai oleh Qatar dan Mesir, Yahya adalah satu-satunya pembuat keputusan.

Menurut sumber Hamas, perunding akan menunggu berhari-hari sebelum menerima maklum balas yang ditapis melalui rantaian utusan rahsia.

Pada Ogos, beliau dilantik menjadi salah seorang pemimpin paling kanan Hamas selepas pendahulunya, Ismail Haniyeh, dibunuh di Teheran.

Menurut kenyataan tentera, tiga pejuang Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan tentera dari Briged 828 dengan seorang daripada mereka dikenal pasti sebagai Yahya.

Jurucakap tentera Israel berkata, askar pada mulanya tidak menyedari Yahya berada di dalam bangunan di mana insiden tembakan itu berlaku.

Pertembungan dilaporkan berlaku di Tel Al-Sultan, Rafah, di mana Yahya dikatakan memakai vest tentera, penutup kepala dengan memegang senapang AK-47.

Laman web berita Axios berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) memetik pegawai Israel melaporkan, pembunuhan Yahya berlaku secara tidak sengaja dan bukan hasil risikan khusus.

Tentera mengeluarkan video dron menunjukkan individu yang didakwa Yahya, duduk di atas kerusi berlengan dan diselaputi habuk di dalam bangunan yang musnah.

Hamas tidak membuat sebarang komen, tetapi sumber dalam kumpulan itu berkata, tanda-tanda yang mereka lihat menunjukkan Yahya sudah dibunuh oleh tentera Israel.

PROSPEK GENCATAN SENJATA

Presiden AS, Joe Biden mendakwa kematian Yahya adalah ‘hari yang baik’ untuk dunia dan menyifatkan pembunuhan itu menghapuskan halangan utama kepada gencatan senjata Gaza dan perjanjian tebusan.

Jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller berkata, AS bersedia memulakan rundingan mengenai cadangan untuk mencapai gencatan senjata dan usaha menamatkan perang di Gaza.

“Tidak dapat meramalkan sama ada ini bermakna sesiapa yang menggantikan Yahya akan bersetuju dengan gencatan senjata tetapi ia menghapuskan apa yang menjadi halangan utama untuk mendapatkannya sejak beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya.

Miller berkata, sejak beberapa minggu lalu Yahya enggan berunding sama sekali.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dilaporkan turut mengadakan panggilan telefon berasingan semalam dengan pemimpin di Arab Saudi dan Qatar bertujuan menamatkan konflik di Asia Barat.

Keluarga tebusan Israel menegaskan, walaupun pembunuhan Yahya dianggap sebagai pencapaian terbesar tentera Israel, ia tidak akan bermakna jika tebusan masih berada di Gaza.

Daripada 251 tebusan yang ditahan oleh Hamas dalam serangan 7 Oktober, 97 kekal di Gaza, termasuk 34 yang menurut pegawai Israel sudah mati.

GELOMBANG SERANGAN BAHARU

Penganalisis memberi amaran ketidaktentuan susulan pembunuhan Yahya menimbulkan potensi ancaman, di mana pejuang Palestin mungkin melakukan serangan balas.

Pakar Israel mengenai Hamas, Guy Aviad berkata, walaupun pihaknya menghapuskan ketua kumpulan pejuang Palestin itu, bahaya besar masih membelenggu tebusan kerana nasib mereka terletak di tangan pejuang Hamas.

Katanya, adik lelaki pemimpin yang maut iaitu Mohammed Sinwar, kini bertanggungjawab ke atas nasib tebusan Israel dan akan cuba membalas dendam atas kematian abangnya.

Iran berkata, semangat penentangan akan diperkuatkan selepas pembunuhan pemimpin Hamas itu.

Kumpulan pejuang Hezbollah turut melancarkan fasa baharu dalam peperangan menentang Israel dengan menggunakan peluru berpandu tepat buat kali pertama.

Hezbollah menerusi satu kenyataan berkata, setiap pejuangnya bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang pencerobohan darat askar Israel di selatan Lubnan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN