NEW DELHI: Sekumpulan penipu di India berjaya membuka dan mengendalikan cawangan palsu bank terbesar di negara itu, State Bank of India (SBI), selama 10 hari untuk memperdaya orang ramai membayar sejumlah wang bagi mendapatkan pekerjaan tetap di sana.
Penduduk Chhapora, sebuah kampung di negeri Chhattisgarh, terkejut melihat pembukaan cawangan SBI di kawasan mereka.
Walaupun ada yang curiga sejak awal, namun ramai yang menganggap ia sebagai peluang untuk mendapatkan pekerjaan stabil dengan gaji lumayan.
Seorang lelaki berusia 25 tahun, Pintu Dhurve adalah antara enam orang yang berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai juruwang di cawangan SBI palsu berkenaan, di mana dia perlu membayar 580,000 rupee (RM29,711).
Terdapat beberapa petunjuk yang mencurigakan seperti kekurangan kerja dan ketiadaan kad pengenalan pekerja.
Namun, logo SBI di pintu masuk serta ruang kerja seluas 1000 kaki persegi, perabot baharu dan kaunter bank yang beroperasi sepenuhnya meyakinkan Dhurve bahawa bank itu sah.
Tetapi, malangnya ia hanyalah satu penipuan.
Selama 10 hari, enam pekerja di cawangan bank palsu itu datang bekerja hanya untuk melihat masa berlalu.
Pengurus cawangan, biasanya datang sekitar jam 10 pagi dan pulang pada tengah hari, menyuruh mereka melayari laman web Bank Negara India dan membaca mengenai syarikat serta protokolnya.
Namun, suatu hari pengurus tersebut tidak lagi hadir ke bank, namun tiada sesiapa pun yang mempersoalkannya.
Akhirnya, pihak polis bersama pekerja sebenar SBI tiba di bank berkenaan dan mendedahkan ia adalah satu penipuan.
Penipuan ini berjaya memperdaya beberapa individu untuk membayar sejumlah wang besar dengan menjanjikan pekerjaan stabil di Bank Negara India.
Polis mengesahkan tiada pelanggan bank menjadi mangsa kehilangan wang, namun mereka yang membayar untuk mendapatkan pekerjaan di situ mengalami kerugian keseluruhan sebanyak 1.2 juta rupee (RM61,475).- AGENSI










