Pemilik suara Doraemon meninggal dunia pada usia 90 tahun

Pemilik suara Doraemon meninggal dunia pada usia 90 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Nobuyo Oyama, yang terkenal sebagai suara watak ikonik Doraemon dalam anime Jepun,  meninggal dunia pada usia 90 tahun, menurut agensinya semalam.

Menurut kenyataan daripada Actors 7, Oyama meninggal dunia pada 29 September akibat faktor usia dan upacara pengebumian tertutup yang dihadiri oleh ahli keluarga telah diadakan untuk Oyama.

Oyama paling dikenali sebagai pemilik suara watak Doraemon dalam rancangan televisyen popular yang bersiaran dari tahun 1979 hingga 2005.

Siri itu merupakan salah satu daripada tiga siri utama dalam francais Doraemon yang mendapat populariti global, terutamanya di pasaran serantau seperti Hong Kong dan Vietnam.

Francais tersebut merangkumi puluhan filem animasi, permainan video, album muzik dan siri manga pengembaraan Doraemon, seekor kucing robotik dari abad ke-22 yang datang ke zaman moden untuk membantu budak lelaki bernama Nobita yang sering menghadapi kesukaran.

Menurut penyiar awam NHK, Oyama dilahirkan di Tokyo dan sebelum menjadi suara Doraemon, beliau juga pernah berlakon dalam rancangan boneka Boo Foo Woo, yang disiarkan dari 1960 hingga 1967.

Namun, siri animasi Doraemon yang melonjakkan namanya ke peringkat antarabangsa, sehingga siri yang bermula pada 1979 turut dikenali sebagai ‘Edisi Oyama’ untuk membezakannya dengan adaptasi  yang lain.

Berita kematian Oyama mencetuskan gelombang penghormatan di media sosial, dengan peminat dari seluruh dunia mengungkapkan rasa sedih dan mengenangnya sebagai suara ikonik zaman kanak-kanak mereka.

“Puan Nobuyo Ōyama adalah seseorang yang menyokong saya sejak awal karier saya.

“Terima kasih atas segala kerja keras anda selama bertahun-tahun. Saya sangat menghargainya,” tweet Kazuhiko Inoue, yang merupakan suara watak kegemaran peminat Kakashi dalam manga global terkenal Naruto.

Sesetengah peminat turut meluahkan kesedihan kerana Oyama meninggal dunia tidak lama selepas kematian Noriko Ohara, suara watak Nobita pada bulan Julai lalu.

“Bila saya teringat Doraemon, suara Nobuyo Oyama terus bermain di fikiran saya,” tulis seorang pengguna di platform X. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN