BEIRUT: Serangan besar-besaran tentera Israel menggegarkan pinggir selatan Beirut sejak Sabtu hingga Ahad, dengan letupan bergema di seluruh bandar selama hampir 30 minit.
Israel terus memperluaskan operasi ketenteraan di Lubnan dan melancarkan serangan pertama di bandar utara Tripoli pada Sabtu, menurut seorang pegawai keselamatan.
Sekurang-kurangnya lapan serangan menggegarkan pinggir selatan Beirut pada lewat kelmarin, termasuk berhampiran lapangan terbang, lapor saksi Reuters.
Menurut pegawai Lubnan, serangan Israel juga membunuh orang awam dan memaksa 1.2 juta penduduk atau hampir satu perempat daripada populasi meninggalkan kediaman mereka.
Serangan di kem pelarian Palestin di Tripoli membunuh seorang anggota Hamas, isteri dan dua anak mereka.
Pegawai keselamatan Lubnan berkata, serangan tersebut membunuh seorang pemimpin sayap bersenjata Hamas, dikenali sebagai Saeed Atallah.
Sebelum peningkatan serangan baru-baru ini, pertempuran antara Israel dan Hezbollah kebanyakannya terhad kepada kawasan sempadan dengan Lubnan, selari dengan perang Israel yang berlanjutan selama setahun di Gaza menentang pejuang Hamas.
Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, Israel membunuh 440 pejuang Hezbollah dalam operasi daratnya di selatan Lubnan dan memusnahkan 2,000 sasaran kumpulan itu.
Sumber keselamatan Lubnan melaporkan, pengganti Nasrallah, Hashem Safieddine juga dikhuatiri terkorban kerana tidak dapat dihubungi sejak Jumaat, selepas serangan udara Israel berhampiran lapangan terbang antarabangsa Beirut yang dipercayaai menyasarkan beliau.
Setakat ini, Hezbollah belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai Safieddine.










