BEIRUT: Tentera Israel membedil kem pelarian Palestin di Ein al-Hilweh yang terletak di bandar Sidon di selatan Lubnan selepas melancarkan serangan darat ke atas negara itu.
Ia merupakan kem pelarian paling padat penduduk di Lubnan dengan lebih 130,000 rakyat Palestin tinggal di sana.
Lokasi itu turut digambarkan sebagai ibu kota pelarian Palestin.
Saksi berkata, beberapa bangunan musnah dan ribuan mangsa terperangkap di bawah runtuhan.
Menurut laporan Al Jazeera, pasukan penyelamat bergelut untuk masuk ke lokasi berkenaan kerana lorong yang sangat sempit.
Serangan itu menyasarkan seorang ketua pejuang Palestin yang dipercayai terselamat namun laporan itu belum disahkan.
Israel memulakan operasi darat ke atas Lubnan dengan melancarkan serangan ke atas pinggir bandar Beirut dan sekitar lapan bedilan dari udara turut berlaku, memusnahkan empat bangunan.
Terdapat juga serangan di beberapa kawasan di selatan Lubnan berikutan pencerobohan kali keempat oleh Israel dalam tempoh 50 tahun itu.











