Hezbollah serang Haifa, Israel halang penduduk selatan Lubnan pulang

Hezbollah serang Haifa, Israel halang penduduk selatan Lubnan pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Kumpulan Hezbollah melancarkan serangan peluru berpandu di sebuah pangkalan tentera Israel di bandar Haifa selepas tentera rejim menyerang pejuang di Lubnan dan Gaza pada sambutan Yom Kippur, hari paling suci dalam kalendar Yahudi.

Siren serangan udara kedengaran hari ini di utara Israel, dengan tentera mendakwa sudah memintas satu peluru berpandu yang dilancarkan dari Lubnan.

Beberapa jam sebelum Yom Kippur, Israel menghadapi kecaman diplomatik hebat berikutan serangan ke atas kedudukan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan.

Dua tentera pengaman Sri Lanka cedera dalam kejadian kedua seumpamanya untuk tempoh dua hari misi Pasukan Interim PBB Lubnan (UNIFIL) semalam.

Empat petugas keamanan cedera termasuk dua dari Indonesia pada Khamis lalu apabila sebuah kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah menara pengawasan UNIFIL.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, beliau percaya petugas keamanan PBB sudah ‘disasarkan secara sengaja’.

Ketua PBB, Antonio Guterres mengutuk tembakan itu sebagai sesuatu tidak boleh diterima dan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa, manakala kerajaan Britain berkata ia amat mengejutkan.

Sementara itu, tentera Israel dilaporkan memberi amaran kepada penduduk di selatan Lubnan untuk tidak pulang ke rumah mereka ketika rejim itu terus memerangi Hezbollah di kawasan berkenaan.

“Tentera Israel terus mensasarkan pos Hezbollah di dalam atau berhampiran kampung anda. Jangan pulang ke rumah anda sehingga diberitahu kelak. Jangan pergi ke selatan, sesiapa yang pergi ke selatan boleh meletakkan nyawanya terancam,” kata jurucakap tentera Avichay Adraee di laman X.

Adraee turut mengulangi seruan awal agar pekerja kesihatan dan pasukan perubatan di selatan Lubnan mengelak daripada menggunakan ambulans, mendakwa mereka digunakan oleh pejuang Hezbollah.

“Kami menyeru pasukan perubatan untuk mengelak daripada berhubung dengan anggota Hezbollah dan tidak bekerjasama dengan mereka.

“IDF mengesahkan bahawa tindakan yang perlu akan diambil terhadap mana-mana kenderaan yang mengangkut individu bersenjata, tanpa mengira jenisnya,” tambahnya.

Sementara itu, serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 20 orang di utara Gaza ketika tentera mengarahkan lebih banyak pemindahan.

Semalam, 30 orang dilaporkan terkorban dalam serangan Israel ke atas kem pelarian Jabalia di utara Semenanjung Gaza.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN