KHAN YOUNIS: Dalam runtuhan rumah dua tingkatnya, Mohammed yang berusia 11 tahun mengumpulkan serpihan bumbung ke dalam baldi yang pecah untuk digunakan bapanya membuat batu nisan kepada korban perang di Gaza.
“Kami mengumpul runtuhan batu bukan untuk membina rumah, tetapi untuk membuat batu nisan dan kubur.
“Dari satu kesengsaraan ke satu lembah kesedihan yang tidak berkesudahan,” kata bekas pekerja pembinaan Jihad Shamali, 42, ketika dia memotong logam yang diambil dari rumah mereka di bandar selatan Khan Younis.
Pada Mac lalu, keluarga itu membina makam untuk salah seorang anak lelaki Shamali, Ismail yang terbunuh menggunakan batu-batan daripada serpihan bangunan.
Ia merupakan sebahagian kecil daripada usaha yang mula dibuat penduduk untuk menangani runtuhan yang ditinggalkan oleh kempen ketenteraan Israel menentang pejuang Hamas.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan terdapat lebih 42 juta tan serpihan, daripada bangunan yang menyembah bumi akibat bedilan tentera rejim.
Jumlah tersebut adalah 14 kali ganda jumlah runtuhan terkumpul di Gaza antara 2008 dan sebelum perang setahun lalu, dan lebih lima kali ganda jumlah yang ditinggalkan oleh Pertempuran Mosul 2016-2017 di Iraq.
Timbunan itu juga menyamai 11 buah Piramid Besar Giza yang di Mesir.
PROJEK BERSIH SERPIHAN
Kumpulan Kerja Pengurusan Serpihan yang diketuai PBB merancang projek perintis dengan pihak berkuasa Palestin di Khan Younis dan bandar Deir El-Balah di tengah Gaza untuk mula membersihkan serpihan di tepi jalan bulan ini.
“Cabarannya sangat besar. Ia akan menjadi operasi besar-besaran, tetapi pada masa yang sama, adalah penting untuk kita mulakan sekarang,” kata Ketua Pejabat Gaza untuk Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Alessandro Mrakic.
Ditanya mengenai serpihan itu, unit tentera Israel COGAT berkata, pihaknya bercadang menambah baik pengendalian sisa dan akan bekerjasama dengan PBB untuk mengembangkan usaha tersebut.
Mrakic berkata, penyelarasan dengan Israel adalah sangat baik tetapi perbincangan terperinci mengenai rancangan masa depan masih belum dilakukan.
“Siapa yang akan datang ke sini dan membersihkan runtuhan untuk kami? Tiada siapa. Oleh itu, kami melakukannya sendiri,” kata pemandu teksi, Yusri Abu Shabab ketika mengalihkan serpihan besar dinding rumahnya untuk mendirikan khemah.
Mrakic memetik anggaran awal yang tidak diterbitkan, usaha untuk membersihkan 10 juta tan runtuhan akan menelan belanja sehingga AS$280 juta (RM1.18 bilion), membayangkan sekitar AS$1.2 billion (RM5.06 billion) diperlukan jika perang terhenti sekarang.
Anggaran PBB dari April mencadangkan ia akan mengambil masa 14 tahun untuk membersihkan semua runtuhan tersebut.
RISIKO PENYAKIT
Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah berkata, serpihan itu menimbulkan risiko kecederaan yang besar.
Nizar Zurub dari Khan Younis, tinggal bersama anaknya di sebuah rumah yang hanya tinggal bumbung, tergantung pada sudut yang tidak kukuh dan menunggu masa untuk runtuh.
Program Alam Sekitar PBB (UNEP) berkata, dianggarkan 2.3 juta tan serpihan mungkin tercemar, memetik penilaian ke atas lapan kem pelarian di Gaza.
Serat asbestos boleh menyebabkan kanser ovari dan paru-paru apabila disedut.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan hampir sejuta kes jangkitan pernafasan akut di Gaza sepanjang tahun lalu.
Jurucakap WHO, Bisma Akbar berkata, habuk adalah kebimbangan utama dan boleh mencemari air, tanah serta membawa kepada penyakit paru-paru.
Doktor juga bimbang peningkatan kanser dan kecacatan kelahiran akibat kebocoran logam dalam beberapa dekad akan datang.
Menurut jurucakap UNEP, gigitan ular dan kala jengking serta jangkitan kulit daripada lalat pasir kini turut menjadi kebimbangan utama di Gaza kini.-REUTERS











