JAKARTA: Indonesia hari ini mengesahkan dua anggota pasukan pengaman PBB dari negara itu cedera akibat tembakan Israel di Lubnan dan menyifatkan serangan tersebut sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Pasukan pengaman PBB memaklumkan tentera Israel telah melepaskan tembakan ke arah markas mereka di selatan Lubnan pada Khamis, sehingga mengakibatkan dua anggota Blue Helmet cedera dan mencetuskan kecaman.
Israel mendakwa serangan tersebut mensasarkan anggota Hezbollah berdekatan dengan pos PBB dalam satu operasi selepas pasukan pengaman PBB menolak permintaan Israel untuk memindahkan beberapa pos mereka.
“Menerusi serangan di menara di Nakura, dua anggota kami cedera dan mereka berasal dari Indonesia,” kata Menteri Luar Negeri, Retno Marsudi, dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, kedua-dua anggota tersebut hanya mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di hospital untuk pemerhatian lanjut.
“Indonesia mengutuk keras serangan ini.
“Menyerang anggota dan harta benda PBB adalah pelanggaran besar terhadap Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa,” tegasnya
Retno turut menggesa semua pihak supaya sentiasa menghormati kawasan PBB dalam apa jua keadaan.
Indonesia, yang merupakan pengkritik tegar Israel dan penyokong kuat Palestin, kini mempunyai sekitar 1,232 anggota yang bertugas di bawah misi PBB di Lubnan, UNIFIL.
UNIFIL mempunyai kira-kira 10,000 pasukan pengaman yang ditempatkan di selatan Lubnan. -AFP










