NEW DELHI: Parti pemerintah India dijangka tewas dalam dua pilihan raya wilayah kepada pembangkang utama, Kongres dan sekutunya, menurut tinjauan selepas pengundian.
Media tempatan melaporkan, Kongres mempunyai kelebihan yang jelas dalam tinjauan di negeri Haryana, menunjukkan berakhirnya pemerintahan sedekad Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi.
Pembangkang juga dilaporkan mempunyai kelebihan di wilayah Jammu dan Kashmir.
Ini menunjukkan satu lagi kemunduran bagi BJP selepas prestasi buruk yang dicatatkan parti itu dalam pilihan raya umum lalu.
Kedua-dua pilihan raya itu diadakan secara berfasa yang berakhir Sabtu, dengan undian akan dikira pada Selasa dan keputusan diumumkan pada hari yang sama.
Tinjauan keluar undi sebelum ini meramalkan parti BJP pimpinan Modi akan memenangi majoriti besar dalam pilihan raya umum pada Jun.
Namun, parti itu gagal mencapai majoriti dan terpaksa bergantung kepada parti-parti wilayah untuk membentuk kerajaan gabungan.
Dua wilayah India tersebut adalah yang pertama mengadakan pilihan raya sejak pemilihan pada Jun.
Hab perindustrian India di Maharashtra dan negeri kaya mineral di timur, Jharkhand, sedang menunggu pengumuman tarikh pilihan raya yang dijadualkan pada November ini.










