WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memperluaskan sekatan terhadap sektor petroleum dan petrokimia Iran sebagai tindak balas kepada serangan peluru berpandu Teheran ke atas Israel.
Langkah AS menambah dua sektor utama ekonomi Iran kepada perintah eksekutifnya bertujuan mengehadkan dana kerajaan negara itu bagi menyokong program nuklear dan peluru berpandunya.
“Penetapan baharu hari ini juga termasuk langkah terhadap ‘armada hantu’ yang membawa minyak haram Iran kepada pembeli di seluruh dunia.
“Langkah-langkah ini akan membantu mengehadkan lagi sumber kewangan Iran yang digunakan untuk menyokong program peluru berpandunya dan memberikan sokongan kepada kumpulan yang mengancam AS, sekutu dan rakan kongsi kami.
“Perbendaharaan AS juga kini boleh mengenakan sekatan ke atas mana-mana individu yang bertekad untuk beroperasi dalam sektor petroleum dan petrokimia ekonomi Iran,” kata Penasihat Keselamatan Negara, Jake Sullivan dalam satu kenyataan.
Israel berikrar untuk bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu Iran pada 1 Oktober, yang dilancarkan sebagai tindakan balas terhadap serangan rejim itu di Lubnan dan Gaza termasuk pembunuhan seorang pemimpin Hamas di Iran.
Presiden AS, Joe Biden berkata, Israel harus mencari alternatif untuk menyerang kemudahan minyak Iran.
Tetapi negara-negara Teluk dilaporkan melobi Washington untuk menghalang Israel daripada menyerang tapak minyak kerana bimbang kemudahan mereka boleh menjadi sasaran proksi Teheran jika konflik meningkat.
Jabatan Perbendaharaan memaklumkan turut menetapkan 16 entiti dan mengenal pasti 17 kapal sebagai harta yang disekat, memetik penglibatan mereka dalam penghantaran produk petroleum dan petrokimia yang menyokong Syarikat Minyak Nasional Iran.
Eksport minyak Iran meningkat di bawah pemerintahan Biden apabila Teheran berjaya mengelak sekatan dan China memilih menjadi pembeli minyak utama negara itu.
Perundingan Risiko Kumpulan Eurasia berkata, AS boleh mengurangkan eksport minyak Iran dengan mengetatkan lagi penguatkuasaan sekatan termasuk melalui pengimejan satelit untuk memantau kapal tangki yang sudah mematikan isyarat transponder.
“AS juga boleh menekan negara untuk menyokong usaha penguatkuasaan seperti Malaysia, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Tetapi pendekatan itu akan memerlukan tekanan diplomatik yang kuat terhadap dua rakan kongsi Malaysia dan UAE yang kedua-duanya enggan menyokong usaha yang memihak kepada Israel.
“Penguatkuasaan sekatan yang lebih tegas mungkin memerlukan penyasaran firma China kerana Beijing membeli hampir 90 peratus eksport minyak mentah Iran,” katanya.-REUTERS










