GAZA: Tentera Israel mengebom 21 sekolah yang menempatkan pelarian di Semenanjung Gaza sejak bulan lalu, mengorbankan 267 penduduk Palestin dan mencederakan ratusan yang lain, lapor Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean.
Menurut pihak berkuasa tempatan, sekurang-kurangnya 22 orang, termasuk 13 kanak-kanak dan enam wanita, terbunuh awal pagi Sabtu apabila jet pejuang Israel menyerang sebuah sekolah yang menempatkan pelarian di kejiranan Zeitoun, Bandar Gaza.
“Serangan ini merupakan jenayah baharu yang boleh ditambah ke dalam siri jenayah perang yang dilakukan oleh Israel di Semenanjung Gaza,” kata organisasi hak asasi yang berpangkalan di Geneva itu dalam satu kenyataan.
Pemantau itu turut menyifatkan serangan Israel terhadap sekolah-sekolah yang menempatkan pelarian sebagai satu pelanggaran jelas terhadap prinsip perbezaan, keperluan ketenteraan, dan kesesuaian.
Organisasi tersebut turut mengecam cubaan Israel untuk menjustifikasikan serangan ke atas sekolah dan tempat perlindungan di Gaza.
Tentera Israel sering mendakwa serangan mereka menyasarkan pejuang bersenjata yang berpangkalan di sekolah-sekolah tersebut, satu tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak Palestin.
“Tiada bukti diberikan untuk menyokong dakwaan Israel,” menurut kumpulan hak asasi itu.
Rejim Zionis secara berterusan menyasarkan kemudahan awam termasuk sekolah, hospital, dan tempat ibadat di tengah-tengah serangan berterusan ke atas Gaza.
Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Gaza sejak Oktober lalu, meskipun Majlis Keselamatan PBB telah mengeluarkan resolusi menuntut gencatan senjata segera.
Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, hampir 41,400 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dan lebih 95,700 lagi cedera sejak serangan itu bermula.
Serangan Israel telah menyebabkan hampir keseluruhan penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan berterusan yang mengakibatkan kekurangan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan. -AGENSI











