NEW YORK: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan negaranya bersedia menamatkan kebuntuan nuklear dengan Barat, sambil menyeru agar perang Russia di Ukraine diakhiri melalui dialog.
Beliau berkata, Iran turut berharap untuk melihat kelonggaran sekatan Amerika Syarikat (AS) yang telah melumpuhkan ekonomi negara itu.
Ketika memegang kuasa, bekas Presiden AS, Donald Trump memilih meninggalkan pakatan nuklear Teheran 2015 bersama enam kuasa dunia pada 2018 dan mengenakan semula sekatan keras ke atas Iran.
Usaha untuk memulihkan pakatan itu juga gagal.
Hubungan negara itu dengan Barat turut bertambah buruk sejak kumpulan pejuang Hamas yang disokong Iran menyerang selatan Israel pada 7 Oktober lalu dan ketika Tehran meningkatkan sokongannya terhadap perang Russia di Ukraine.
Masoud, yang memegang jawatan pada Ogos lalu, menjanjikan dasar luar yang pragmatik sambil mengkritik musuh ketat Iran, Israel atas pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
“Amat penting bagi masyarakat antarabangsa segera mendapatkan gencatan senjata kekal di Gaza dan menamatkan kebiadaban terdesak Israel di Lubnan, sebelum ia melanda rantau ini dan dunia.
“Kami mencari keamanan untuk semua dan tidak mempunyai niat untuk berkonflik dengan mana-mana negara. Iran menentang perang dan menekankan keperluan untuk menghentikan segera konflik ketenteraan di Ukraine,” katanya.
Serangan udara Israel di Beirut membunuh seorang komander kanan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran di Lubnan Selasa lalu, ketika serangan roket rentas sempadan oleh kedua-dua pihak meningkatkan kebimbangan perang besar.
Russia sudah menjalin hubungan yang rapat dengan Iran sejak permulaan perangnya dengan Ukraine dan berkata ia sedang bersedia untuk menandatangani perjanjian kerjasama yang meluas dengan negara Islam itu.
Menurut tiga sumber Barat dan serantau, Iran menjadi perantara rundingan rahsia yang berterusan antara Russia dan kumpulan Houthi di Yaman bagi memindahkan peluru berpandu anti-kapal kepada kumpulan itu, perkembangan yang menonjolkan hubungan Teheran yang semakin erat dengan Moscow. -REUTERS











