KABUL: Kerajaan Taliban di Afghanistan berhasrat untuk menyertai Forum Kesatuan Sekerja BRICS Ke-13, kata seorang jurucakap kelmarin menjelang sidang kemuncak kumpulan itu di Russia pada bulan depan.
Jurucakap kerajaan Taliban, Hamdullah Fitrat berkata, forum itu akan memberikan platform yang baik untuk pihaknya memperkukuh hubungan dengan negara ekonomi besar seperti Russia, India dan China.
“Negara-negara itu turut menghadiri forum ekonomi BRICS. Pada masa ini, kami mempunyai hubungan ekonomi yang baik dan pertukaran perdagangan dengan mereka.
“Kami berhasrat untuk memperluas hubungan kami dan turut serta dalam forum ekonomi tersebut,” katanya seperti laporan AFP.
Sidang kemuncak ekonomi itu yang melibatkan Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan akan diadakan pada 22-24 Oktober ini di bandar Kazan, barat daya Russia.
Tahun ini, lima negara baharu yang menganggotai BRICS adalah Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Saudi Arabia and Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pihak berkuasa Taliban belum diakui secara rasmi oleh mana-mana negara, tetapi mempunyai hubungan yang semakin baik dengan negara-negara pengasas BRICS termasuk China dan Russia.
Kumpulan tersebut belum memberikan reaksi secara terbuka terhadap permintaan kerajaan Taliban.
Seorang jurucakap Kementerian Luar Afghanistan memberitahu AFP semalam, pihaknya setakat ini tidak dijemput ke acara berkenaan.
Kedua-dua Moscow dan Beijing telah menyatakan kesediaan untuk melabur dalam projek komersial di Afghanistan dan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Taliban dalam memerangi Daesh Khorasan, cabang kumpulan Daesh di negara itu. – AFP











