NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak negara-negara di dunia untuk campur tangan bagi mencegah peningkatan keganasan antara Israel dan Hezbollah.
Timbalan Setiausaha Agung PBB untuk Hal Ehwal Politik dan Pembangunan Keamanan, Rosemary DiCarlo berkata, tindakan itu penting bagi mengelakkan kemusnahan lebih besar jika ketegangan berterusan.
“Kita menyaksikan serangan-serangan yang mengakibatkan kemusnahan hampir setiap hari di kedua-dua pihak.
“Saya menggesa negara-negara yang mempunyai hubungan baik dengan Israel dan Lubnan, memainkan peranan untuk menghentikan konflik ini,” katanya kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) di sini, semalam.
Konflik Israel dan Hamas yang berlanjutan di Gaza selama 11 bulan, mendorong kumpulan bersenjata Hezbollah di Lubnan melancarkan serangan terhadap rejim Zionis sebagai menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Dalam perkembangan terbaharu, Hezbollah mengesahkan, komander kanannya, Ibrahim Aqil, terbunuh dalam serangan Israel semalam di pinggir selatan Beirut.
Ibrahim maut bersama-sama anggota kanan unit elit Hezbollah yang lain dalam serangan udara itu.
Menteri Luar Lubnan, Abdallah Bou Habib menuduh Israel melakukan serangan keganasan dan menggesa dunia mengutuk tindakan tersebut.
PBB berkata, letupan alat komunikasi di Lubnan adalah jenayah perang kerana keganasan yang dilakukan turut mengakibatkan orang awam menjadi mangsa.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk memberitahu UNSC semasa sesi tergempar di Lubnan yang diminta oleh Algeria, perbuatan itu bertujuan menimbulkan ketakutan orang awam.
“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa melarang penggunaan alat perangkap samar dalam bentuk objek mudah alih yang nampaknya tidak berbahaya.
“Ia adalah jenayah perang untuk melakukan serangan yang bertujuan menyebarkan keganasan dalam kalangan orang awam,” katanya yang turut menggesa siasatan bebas, terperinci dan telus dilakukan segera berhubung insiden itu.- AGENSI









