Komander tertinggi Hezbollah maut serangan Israel di Beirut

Komander tertinggi Hezbollah maut serangan Israel di Beirut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Seorang komander tertinggi tentera Hezbollah serta beberapa tokoh kanan kumpulan itu antara 14 individu yang terbunuh dalam serangan terbaharu Israel di Beirut semalam.

Pegawai Lubnan berkata, serangan di kawasan padat penduduk di Dahiyah yang juga kubu kuat kumpulan disokong Iran itu turut mencederakan sekurang-kurangnya 66 orang, sembilan daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Daniel Hagari berkata, Komander Kanan Pasukan Elit Radwan Hezbollah, Ibrahim Aqil terbunuh bersama beberapa anggota operasi unit itu.

Hezbollah turut mengesahkan kematian Ibrahim dalam satu catatan di media sosial selepas tengah malam, menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin jihad yang hebat tanpa memberikan butiran bagaimana beliau meninggal dunia.

Pada April lalu, Washington mengumumkan sedang mencari Ibrahim yang juga dikenali sebagai Tahsin dan menawarkan ganjaran kewangan sehingga AS$7 juta (RM29.42 juta) kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang keberadaannya.

Washington mendakwa Ibrahim adalah ahli kumpulan yang mendalangi pengeboman kedutaan AS di Beirut dan berek marin pada 1983 yang mengorbankan ratusan nyawa.

Sumber keselamatan Lubnan berkata, sekurang-kurangnya enam komander Hezbollah maut apabila beberapa peluru berpandu membedil garaj sebuah bangunan kediaman semalam.

Rangkaian tempatan di Lubnan menyiarkan rakaman menunjukkan pasukan kecemasan di runtuhan bangunan tinggi di kawasan Jamous, lokasi Hezbollah menjalankan banyak operasi politik dan keselamatannya.

Serangan tersebut disifatkan yang terburuk di kawasan kejiranan Beirut sejak perang Israel- Hezbollah bermula pada 2006 kerana dilaporkan berlaku pada waktu sibuk ketika orang ramai meninggalkan kerja dan kanak-kanak pulang dari sekolah.

Beberapa jam sebelum serangan tersebut, Hezbollah menggempur utara Israel dengan 140 roket berikutan letupan besar-besaran alat kelui dan walkie-talkie milik anggota kumpulan itu yang menggemparkan Lubnan awal minggu ini.-REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×