Kematian pemimpin Hezbollah cetus ketidaktentuan di Asia Barat

Kematian pemimpin Hezbollah cetus ketidaktentuan di Asia Barat

PENUNJUK perasaan berdiri sambil memegang sepanduk wajah Hassan Nasrallah ketika protes di bandar Ramallah di Tebing Barat.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Pembunuhan pemimpin Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah oleh tentera Israel dilihat  bakal memberi impak besar bukan sahaja di Lubnan tetapi juga di seluruh rantau Asia Barat.

Penganalisis berkata, kematian Nasrallah yang memerintah Hezbollah selama lebih tiga dekad turut memberi tamparan besar kepada kepimpinan kumpulan yang disokong Iran itu selepas berbulan-bulan berperang.

Di tengah-tengah serangan udara berterusan dari Israel, kumpulan itu kini perlu menamakan kepimpinan baharu sementara rantau itu bersiap siaga untuk meningkatkan ketegangan yang boleh berlanjutan kepada perang lebih luas.

“Selama bertahun-tahun, Nasrallah dan pembantunya memerintah Hezbollah dan sebahagian besar Lubnan. 

“Kepimpinan baharu dijangka mengubah keadaan bukan sahaja di Lubnan atau Iran, tetapi juga di negara-negara berdekatan dan seluruh Asia Barat,” kata Profesor Geopolitik Kampus Asia Pasifik ESSEC Business School, Dr. Cedomir Nestorovic.

IMPLIKASI KEPADA AS DAN IRAN

Sementara itu Pengarah Program Asia Barat Badan Pemikir Kautamaan Pertahan AS, Rosemary Kelanic berpendapat, pembunuhan Nasrallah di Lubnan tidak akan mengubah perjalanan konflik itu. 

Katanya, serangan terhadap pemimpin kumpulan pemberontak atau pejuang tidak pernah mengakibatkan keruntuhannya terutamanya apabila organisasi yang disasarkan itu sudah tua, berakar umbi dan mempunyai pengaruh yang meluas.

“Membunuh Nasrallah tidak dapat digantikan dengan teori kemenangan atau mengubah bagaimana konflik ini berakhir.

Jelasnya lagi, kematian Nasrallah juga tidak mengubah apa-apa bagi Amerika Syarikat (AS), sebaliknya merumitkan lagi usaha negara itu merundingkan gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah untuk mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah.

“AS tidak mempunyai kepentingan keselamatan negara langsung dalam konflik ini. 

“Washington harus bekerja lebih keras lagi untuk menjauhkan diri daripada masalah di rantau ini dan mengelak percubaan menguruskannya dengan penempatan senjata dan tentera,” tegasnya.

Walaupun tidak ada negara Arab konservatif yang menyokong Hezbollah, Profesor University Georgetown Qatar, Mehran Kamrava berkata, terdapat kebimbangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mahu meperluaskan perangnya selepas masuk ke Lubnan selain mencipta permusuhan baharu dengan Iran.

“Dari perspektif Teheran, walaupun senario terburuk telah berlaku, mereka tidak akan bertindak. 

“Teheran mempunyai doktrin yang dipanggil kesabaran strategik, di mana mereka bermain permainan yang panjang dan saya fikir doktrin itu akan diteruskan. Mereka enggan untuk melibatkan Israel dalam apa jua cara secara langsung,” katanya.

Perkara sama turut dikongsi Pengerusi Pengajian Islam Universiti Waseda Jepun, Abdullah Baabood.

“Saya tidak merasakan jika Iran akan bertindak kerana mereka menahan serangan yang lebih jelas ke atas tanahnya dan tidak bertindak balas secara langsung. 

“Saya fikir Iran mahu mengelak daripada melakukannya kerana mereka tahu rancangan Netanyahu untuk mengaitkan mereka dalam serangan di Lubnan dan mengheret mereka ke dalam konflik terbuka dengan AS,” katanya.

PENGGANTI NASRALLAH

Selepas kematian Nasrallah dalam serangan udara di pinggir bandar Beirut kelmarin, dunia kini memberi tumpuan kepada sepupunya, Hashem Safieddine yang dianggap secara meluas sebagai pengganti beliau.

Beliau menyelia hal ehwal politik dan operasi awam Hezbollah termasuk sistem pendidikan dan kewangannya.

Lelaki berusia 60 tahun itu berada dalam senarai pengganas AS sejak 2017.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Nasrallah jarang kelihatan di khalayak ramai dan sering diwakili oleh Safieddine. 

Ini termasuk pengebumian anggota berpangkat tinggi kumpulan itu yang terbunuh dalam letupan alat komunikasi minggu lalu, yang didakwa didalangi Israel.

Dengan ramai komander kumpulan itu terbunuh dalam serangan udara sejak Jumaat lalu, Nestorovic berkata, kepimpinan baharu juga boleh datang dari luar Lubnan, termasuk dari Iran, Syria atau Iraq, di mana Hezbollah mempunyai pakatan kuat dengan kumpulan lain yang disokong Iran.-REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×