BEIRUT: Sekurang-kurangnya 492 orang terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan Hezbollah di selatan Lubnan semalam, menurut kementerian kesihatan.
Kementerian melaporkan, 35 kanak-kanak dan 58 wanita termasuk dalam jumlah korban, manakala 1,645 yang lain cedera.
Ribuan keluarga turut melarikan diri apabila tentera Israel mendakwa pasukannya menyerang 1,300 sasaran Hezbollah dalam operasi untuk memusnahkan infrastruktur yang dibina kumpulan itu sejak perang 2006.
Sementara itu, Hezbollah melancarkan lebih 200 serangan roket ke utara Israel, dakwa tentera.
Kuasa dunia menggesa kedua-dua pihak bertelagah untuk menahan diri selepas pertempuran mereka dilihat semakin hampir ke arah peperangan besar.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bimbang dengan situasi yang semakin meruncing dan menegaskan tidak mahu Lubnan menjadi seperti Gaza.
Hampir setahun pertempuran rentas sempadan antara Israel dan Hezbollah yang didorong oleh konflik di Gaza, yang mengorbankan ratusan orang kebanyakannya pejuang.- AGENSI










