WASHINGTON DC: Amerika Syarikat (AS) menggesa Israel supaya siasat mengenai dakwaan penderaan seksual yang dilakukan oleh tentera rejim Zionis terhadap tahanan Palestin, demikian menurut jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller pada Rabu.
Katanya, pegawai AS telah menyemak video yang disiarkan di media Israel menunjukkan askar rejim Zionis membawa tahanan keluar dari kamera pengawasan untuk melakukan penderaan terhadap banduan Palestin.
“Kami telah melihat video tersebut, dan laporan penderaan seksual terhadap tahanan adalah mengerikan. Mereka sepatutnya disiasat sepenuhnya oleh Kerajaan Israel dan Angkatan Pertahanan Israel (IDF),” katanya merujuk kepada tentera Israel.
Selain itu, Rumah Putih juga menyatakan laporan rogol, penyeksaan dan penderaan terhadap tahanan Palestin sebagai sangat membimbangkan.
“Adalah sangat penting bahawa kedaulatan undang-undang dan proses wajar diguna pakai,” kata jurucakap Rumah Putih Karine Jean-Pierre.
Sementara itu, jurucakap Israel di Washington tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen pada Rabu.
Tetapi tentera Israel, yang mengendalikan kem tahanan yang dihuni oleh tahanan Palestin mendakwa bahawa kem tahanan tersebut beroperasi mengikut kedaulatan undang-undang dan sebarang tuntutan khusus mengenai penderaan telah disiasat.
Video tersebut muncul di tengah-tengah penyiasatan pihak berkuasa Israel mengenai dakwaan penderaan yang dilakukan oleh tentera rejim tersebut terhadap tahanan Palestin.
Siasatan itu mencetuskan bantahan oleh kumpulan berhaluan kanan, yang menceroboh dua kemudahan tentera selepas polis tentera menahan sembilan askar atas dakwaan penderaan teruk yang dilakukan terhadap seorang tahanan Palestin di Kem tahanan Sde Teiman, selatan Israel.
Kumpulan hak asasi manusia Israel dalam satu laporan pada Isnin berkata bahawa Israel telah menjalankan dasar penderaan yang sistematik dan penyeksaan banduan sejak bermulanya perang Gaza pada Oktober, menyebabkan tahanan Palestin dikenakan tindakan daripada keganasan sewenang-wenangnya kepada penderaan seksual. -AGENSI











