AUSTIN: Syarikat SpaceX merancang mengeluarkan sebuah megaroket Starship setiap hari di kilang pembuatan Starfactory baharu yang sedang dibina di tapak Starbase di Texas Selatan.
Perkara itu disahkan Pengurus Kejuruteraan Pembuatan Struktur Falcon SpaceX, Jessie Anderson semasa strim langsung ujian penerbangan Starship Khamis lalu.
“Kami mempunyai roket Ships dan penggalak Super Heavy yang sudah dibina dan bersedia untuk dilancarkan dalam beberapa sesi ujian penerbangan dengan lebih banyak lagi bakal dikeluarkan selepas Starfactory SpaceX terus berkembang.
“Fasa terbaharu kilang yang sedang dalam pembinaan akan muncul dalam talian pada musim panas ini, memberikan kami lebih 9,290 meter lagi ruang baharu.
“Setelah selesai, matlamat syarikat untuk kemudahan itu adalah menghasilkan satu megaroket Starship setiap hari di Starfactory sebelum memulakan projek pengeluaran Starship Versi Dua tidak lama lagi,” katanya.
Kemudahan itu adalah sebahagian daripada Starbase SpaceX di Boca Chica, Texas, satu daripada pelabuhan angkasa komersial pertama di dunia yang dikhaskan untuk roket Starship.
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk berkata, versi baharu Starship direka khas agar lebih mudah untuk dihasilkan dalam skala besar.
“Boleh dilihat dengan jelas, versi Starship yang lebih baharu mempunyai kepak hadapan beralih ke bawah. Ini akan membantu meningkatkan kebolehpercayaan, kemudahan pembuatan dan muatan ke orbit,” kongsi Musk di laman X.-AGENSI










