SEOUL: Korea Utara mengumumkan akan menghentikan penghantaran belon yang membawa sampah ke sempadan Korea Selatan tetapi berikrar untuk meneruskan amalan itu jika risalah anti-Korea Utara diterbangkan semula dari Seoul.
Timbalan Menteri Pertahanan Korea Utara, Kim Kang Il dalam satu kenyataan disiarkan KCNA berkata, Korea Selatan kini merasai kesukaran terpaksa mengutip puluhan sampah yang berselerakan selepas Pyongyang menghantar 15 tan bahan buangan menggunakan lebih 3,500 belon.
Korea Selatan menegaskan akan mengambil langkah segera terhadap tindakan mengganggu dan disifatkan sebagai provokasi yang tidak rasional itu.
Seoul juga tidak menolak untuk menyambung semula penggunaan pembesar suara yang dihentikan pada 2018 selepas sidang kemuncak dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
Korea Utara berkata, penghantaran belon itu sebagai tindakan balas terhadap kempen propaganda oleh pembelot dan aktivis Korea Utara di Korea Selatan yang kerap menghantar risalah antiPyongyang, makanan, ubat, wang dan pemacu pena memuatkan video muzik serta drama K-pop merentasi sempadan.
Belon Korea Utara yang membawa sampah seperti puntung rokok, kain, sisa kertas dan plastik ditemui di seluruh ibu kota Seoul sejak pukul 8 malam (waktu tempatan) Sabtu lalu.
Amaran kecemasan dikeluarkan di wilayah Gyeongsang Utara dan Gangwon serta beberapa bahagian di Seoul kelmarin, menggesa orang ramai supaya tidak menyentuh belon tersebut dan segera memaklumkannya kepada polis.
Menteri Pertahanan Korea Selatan, Shin Won-sik memberitahu Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Austin Lloyd pada persidangan di Singapura bahawa belon itu melanggar perjanjian gencatan senjata.
Kedua-dua negara mengesahkan akan melaksanakan tindak balas yang diselaraskan terhadap sebarang ancaman dan provokasi oleh Korea Utara berdasarkan gabungan pertahanan pakatan.-REUTERS










