SAN FRANCISCO: Polis San Francisco menahan sekumpulan penunjuk perasaan pro-Palestin yang menyerbu lobi bangunan menempatkan konsulat Israel.
Menurut pihak berkuasa, beberapa individu ditahan dan kemungkinan ditangkap selepas mereka enggan beredar.
“Pegawai sudah membuat beberapa amaran kepada individu untuk bersurai dan keluar dari harta persendirian itu,” kata polis dalam satu kenyataan.
Seorang saksi Reuters menganggarkan kira-kira 50 orang berada di dalam bangunan di tingkat bawah konsulat tersebut.
Polis kemudian dilihat membawa kumpulan penunjuk perasaan tersebut keluar dari bangunan itu seorang demi sseorang dan memasukkan mereka ke dalam kenderaan polis dengan tangan yang diikat.
Menurut San Francisco Chronicle yang melaporkan dari tempat kejadian, kumpulan penunjuk perasaan yang menyuarakan bantahan terhadap pencerobohan Israel ke Gaza itu merancang untuk tinggal di bangunan tersebut sehingga dihalau secara paksa.
Sebuah kumpulan yang dipanggil Rangkaian Anti-Zionis Yahudi Antarabangsa menerusi laman Instagram memaklumkan sekitar 100 orang menyertai protes itu.
Rangkaian itu yang dikatakan mempunyai majoriti keahlian Yahudi, menyiarkan imej sepanduk yang digantung dengan slogan ‘Melakukan pembunuhan beramai-ramai menjadikan orang Yahudi kurang selamat; Bukan atas nama saya!’
Konsulat Israel berkata, pihaknya tidak terkejut dengan tindakan penunjuk perasaan yang memasuki lobi bangunan di mana konsulat itu terletak dan melabelkan kumpulan tersebut sebagai perusuh pro-Hamas.
Sekurang-kurangnya 36,479 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan rejim Zionis selama lapan bulan di Semenanjung Gaza dengan kira-kira 120 tebusan Israel dipercayai kekal dalam tahanan di wilayah terkepung itu.-REUTERS










