WASHINGTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyenaraikan tentera Israel sebagai pesalah global yang melakukan pencabulan terhadap kanak-kanak.
Menurut jurucakapnya, Stephane Dujarric, Israel disenaraikan dalam laporan tahunan Setiausaha Agung mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata yang akan dihantar ke UNSC Jumaat depan.
Sumber diplomatik berkata, Hamas dan Jihad Islam Palestin turut dimasukkan ke dalam senarai itu.
Jelas Dujarric, Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan sudah dimaklumkan tentang penyenaraian itu namun beliau dilaporkan membuat rakaman video panggilan tersebut dan membocorkan sebahagian daripadanya di media sosial.
“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) adalah tentera paling bermoral di dunia.
“Orang yang memasuki ‘senarai hitam’ hari ini ialah Setiausaha Agung PBB, yang menggalakkan dan mendorong keganasan dan bertindak kerana benci kepada Israel. Memalukan!” katanya.
Dujarric berkata, tindakan Erdan menerbitkan panggilan peribadi itu amat mengejutkan dan tidak boleh diterima, menegaskan ia sesuatu yang tidak pernah berlaku sepanjang 24 tahun berkhidmat dengan organisasi itu.
Penyertaan Israel dalam senarai itu datang selepas lapan bulan perang di Gaza yang sudah mengorbankan lebih 15,500 kanak-kanak.
Senarai hitam PBB itu sebelum ini turut memasukkan negara-negara seperti Arab Saudi, Afghanistan, Republik Demokratik Congo, Sudan, Syria, dan Yemen.
Laporan tahunan itu akan dihantar ke Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada 14 Jun sebelum dokumen rasmi diterbitkan dan dibawa untuk perbincangan pada perbahasan hujung bulan ini.
Jelas Dujarric, UNSC mengarahkan Guterres untuk menyiapkan laporan tersebut dan terpulang kepada anggota pertubuhan itu untuk memutuskan sebarang tindakan.
Beliau turut menggalakkan semua negara anggota untuk membaca keseluruhan laporan tersebut.
Perang di Gaza menyaksikan hubungan Israel dan PBB bertambah buruk dengan diplomatnya menggunakan platform ucapan mereka untuk mengecam badan dunia tersebut.
Pegawai Israel juga kerap mengkritik Agensi Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Wanita PBB dan sering menyasarkan Pelapor Khas PBB untuk Wilayah Palestin yang Diduduki, Francesca Albanese.
Berpuluh-puluh kakitangan PBB dilaporkan terbunuh di Gaza sejak konflik bermula, kerugian terbesar dalam sejarah badan dunia itu.-AFP/AGENSI










