NEW YORK: Intel menghentikan pengembangan projek kilang utama di Israel yang akan mengepam tambahan AS$15 bilion (RM70.82 bilion) dalam syarikat pengeluar cip terbesar dunia itu.
Syarikat cip gergasi itu pada Disember lalu mengumumkan akan membesarkan kapasiti kilang di tapak Kiryat Gat, di selatan Israel yang sedang dalam pembinaan.
Intel bagaimanapun tidak memberi penjelasan terhadap penggantungan fasa pembinaan seterusnya kilang tersebut dan tidak menyebut kaitannya dengan konflik yang sedang berlaku di Gaza.
“Israel terus menjadi salah satu tapak pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) utama kami, malah kami kekal komited sepenuhnya kepada rantau ini.
“Tetapi menguruskan projek berskala besar terutamanya dalam industri kami, selalunya melibatkan penyesuaian kepada perubahan garis masa.
“Keputusan adalah berdasarkan keadaan perniagaan, dinamik pasaran dan pengurusan modal yang bertanggungjawab,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Israel adalah lokasi operasi ketiga terbesar Intel mengikut saiz aset, selepas Amerika Syarikat (AS) dan Ireland.
Gergasi semikonduktor itu sudah berada di Israel selama 50 tahun, dengan pembukaan pusat penyelidikan di Haifa.
Pada 2017, syarikat AS itu membayar sekitar AS$15.3 bilion (RM72.24 bilion) untuk mengawal syarikat baharu Israel Mobileye, yang pakar dalam bantuan dan pemanduan autonomi.
Intel mengapungkan sebahagian daripada modal Mobileye di Bursa Saham New York pada Oktober 2022, tetapi mengekalkan kawalan ke atas syarikat itu.-AFP










