JAKARTA: Menteri Pertahanan dan bakal Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menerima cadangan membawa keluar 1,000 mangsa peperangan di Gaza untuk ditempatkan di pondok pesantren di Jawa Timur.
Calon Gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa yang mengemukakan cadangan itu berkata, penduduk Gaza terutama kanak-kanak dan wanita yang mengalami trauma akan didik dan dijaga dengan baik di pesantren tersebut.
Selain Jawa Timur, beliau turut memberitahu terdapat beberapa tokoh dari Jawa Barat yang turut sudi menempatkan mangsa dari Gaza di pondok pesantren mereka.
“Saya rasa seluruh Indonesia juga bersedia menerima kanak-kanak dan mangsa dari Palestin,” katanya dipetik Antara News.
Khofifah yang berkhidmat sebagai Gabenor Jawa Timur ke-14 dari 2019 hingga 2024 memaklumkan, beliau sudah berkomunikasi dengan guru dan pondok pesantren yang sudi memberi sokongan dari segi pendidikan untuk program tersebut.
“Jumlah 1,000 orang yang akan dipindahkan dari Gaza untuk dididik oleh pelbagai pondok pesantren di Jawa Timur tidaklah terlalu sukar.
“Apatah lagi mangsa juga berbahasa Arab. Ini akan memudahkan mereka untuk menyesuaikan diri dengan pembelajaran di pondok pesantren,” katanya.
Prabowo, ketika menghadiri mesyuarat di Singapura berkata, Presiden Indonesia, Joko Widodo sudah mengarahkan beliau untuk menerima 1,000 pesakit dari Gaza untuk dirawat di pusat perubatan negara itu dalam masa terdekat.
Selain itu, Indonesia bersedia menghantar pasukan pengaman ke Gaza bagi mengekalkan dan memantau gencatan senjata antara Palestin dan Israel.










