Hamas halang gencatan senjata Gaza - Biden

Hamas halang gencatan senjata Gaza – Biden

SERANGAN udara Israel memusnahkan bangunan kediaman di bandar Bureij di tengah Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mendakwa Hamas adalah satu-satunya penghalang kepada perjanjian gencatan senjata Gaza dengan Israel.

Beliau turut menggesa Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani untuk mendesak kumpulan itu menerimanya.

Menurut White House, Biden mengesahkan kesediaan Israel untuk bergerak ke hadapan dengan syarat yang ditetapkannya minggu lalu.

Sheikh Tamim dilaporkan menerima panggilan daripada Presiden AS itu untuk membincangkan usaha ke arah mencapai gencatan senjata kekal di Gaza dan kedua-dua pemimpin turut berunding tentang pembangunan di kawasan tersebut serta wilayah Palestin yang diduduki.

Qatar memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam rundingan tidak langsung antara Hamas dan Israel bersama Mesir serta AS.

Cadangan gencatan senjata penuh  selama enam minggu itu termasuk rancangan tiga fasa dengan pertukaran tawanan Israel untuk tahanan Palestin, pengunduran tentera rejim Zionis dari Gaza dan pembinaan semula kawasan yang musnah.

Cadangan berkenaan bagaimanapun mengecualikan Hamas daripada terus berkuasa, sesuatu yang ditolak oleh kumpulan itu berulang kali.

Sementara itu, pemimpin kumpulan tujuh negara maju (G7) yang dianggotai AS, Kanada, Jepun, Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol dalam satu kenyataan berkata, mereka berdiri di belakang cadangan itu dan menyeru Hamas untuk menerimanya.

“Kami, pemimpin kumpulan G7, menyokong sepenuhnya pelan yang akan membawa kepada gencatan senjata segera di Gaza, pembebasan semua tebusan serta peningkatan yang ketara dan berterusan dalam bantuan kemanusiaan untuk pengagihan di seluruh Gaza.

“Kami juga berharap penamatan berterusan kepada krisis, dengan kepentingan keselamatan Israel dan keselamatan awam Gaza terjamin.

“Kami menyeru Hamas untuk menerima perjanjian ini dengan Israel bersedia untuk bergerak ke hadapan dan kami menggesa negara-negara yang mempunyai pengaruh ke atas Hamas untuk membantu memastikan mereka berbuat demikian,” jelasnya.

Jurucakap Hamas, Osama Hamdan mengalu-alukan rancangan gencatan senjata itu tetapi memberitahu Al Jazeera bahawa kumpulan itu masih belum menerima sebarang dokumen bertulis.

Sementara itu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melihat rancangan itu sebagai sebahagian usaha untuk menghentikan perang bagi  tujuan mengembalikan tebusan sebelum  perbincangan diteruskan tentang cara mencapai matlamat Israel menghapuskan Hamas.

Netanyahu dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan oleh pejabatnya berkata, dakwaan bahawa pihaknya bersetuju dengan gencatan senjata tanpa syarat mereka dipenuhi adalah tidak benar.

Ahli keluarga tebusan yang ditahan di Gaza meminta Israel menerima rancangan itu dan menggesa Netanyahu untuk menyokong cadangan tersebut secara terbuka. 

Mereka malah mengadakan protes selama berbulan-bulan menentang kerajaan dan berulang kali menyeru beliau menerima tawaran sebelumnya yang dirundingkan secara tidak langsung.

Kelmarin, jurucakap tentera Israel,  Daniel Hagari mengesahkan kematian empat lagi tebusan yang terbunuh semasa operasi darat di kawasan Khan Younis menentang Hamas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN