WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden secara senyap-senyap memberi kuasa kepada Kyiv melancarkan senjata yang dibekalkan AS ke sasaran tentera di dalam Russia berikutan serangan terhadap bandar Kharkiv di timur laut Ukraine, lapor empat pegawai AS.
Keputusan itu menandakan peralihan dasar Biden, yang sebelum ini dengan tegas enggan membenarkan Ukraine menggunakan senjata AS untuk melakukan serangan ke dalam Russia.
Pegawai AS berkata, keputusan Biden hanya terpakai kepada sasaran di dalam Russia berhampiran sempadan dengan wilayah Kharkiv, di mana serangan yang dilancarkan oleh Moscow pada 10 Mei berjaya menguasai beberapa kampung.
“Presiden baru-baru ini mengarahkan pasukannya untuk memastikan Ukraine dapat menggunakan senjata dibekalkan AS untuk tujuan serangan balas di wilayah Kharkiv supaya mereka boleh menentang tentera Russia yang menyerang mereka,” kata seorang pegawai AS.
Menurut komander tertinggi Ukraine, Russia sedang membina pasukan berhampiran bahagian utara wilayah itu, tetapi ia kekurangan bilangan tentera untuk melakukan pergerakan besar.
Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine, terletak 130 kilometer (km) dari sempadan Russia.
Ia adalah kali kedua tahun ini Biden melonggarkan dasar secara senyap mengenai bekalan senjata untuk Ukraine, menerima rayuan menghantar peluru berpandu jarak jauh yang dikenali sebagai ATACMS ke Kyiv.
Leftenan kolonel bersara Tentera Darat dan bekas Pengarah Hal Ehwal Eropah Majlis Keselamatan Negara White House, Alexander Vindman memuji peralihan dalam dasar Biden yang dikatakan membuka ikatan terhadap Ukraine.
“Sudah tentu ia adalah langkah yang betul,” kata Vindman.
AS merupakan pembekal senjata terbesar ke Ukraine dalam pertempuran menentang pencerobohan berskala penuh yang dilancarkan oleh Presiden Russia, Vladimir Putin pada Februari 2022.
Para pegawai AS berkata, dasar Washington akan terus melarang tentera Ukraine daripada menggunakan ATACMS, yang mempunyai jarak sehingga 300 km dan senjata jarak jauh lain yang dibekalkan oleh AS untuk serangan mendalam di Russia.
Menurut mereka, keputusan Biden juga tidak bermakna AS kini meluluskan serangan dron yang dilancarkan Ukraine terhadap kemudahan petroleum Russia.-REUTERS










