KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memecat ketua jabatan perlindungan peribadinya selepas dua pegawai tertinggi unit itu ditahan kerana terlibat merancang untuk membunuh beliau.
Serhiy Rud mengetuai Pentadbiran Pengawal Negeri (UDO) yang merupakan unit kritikal keselamatan Presiden serta tokoh penting lain di Ukraine termasuk keluarga mereka namun tiada alasan diberikan untuk pemecatannya yang diumumkan dalam satu dekri ringkas.
Dua kolonel pengawal negara ditahan Selasa lalu selepas disyaki terlibat dalam rangkaian ejen yang dikendalikan oleh perkhidmatan keselamatan (FSB) Russia.
Zelenskyy menyebut mengenai rancangan berulang Russia untuk membunuhnya, tetapi pendedahan terbaharu tentang komplot itu mengejutkan kerana melibatkan pegawainya sendiri dan turut menyasarkan Ketua Perisikan Tentera, Kyrylo Budanov dan Ketua Perkhidmatan Keselamatan Negara (SBU), Vasyl Malyuk.
Malyuk berkata, plot itu dirancang untuk dijadikan hadiah kepada Vladimir Putin ketika perlantikan rasminya sebagai Presiden Russia bagi penggal kelima Selasa lalu.
“Dua kolonel UDO dituduh melakukan aktiviti subversif terhadap Ukraine sebagai pertukaran untuk pampasan kewangan,” kata pejabat Pendakwa Raya Ukraine.
Kedua-dua kolonel itu didakwa melakukan pengkhianatan dengan seorang lagi didakwa merancang tindakan pengganas.
Pejabat pendakwa berkata, salah seorang daripada suspek menerima dua dron dan peluru daripada FSB Russia untuk dipindahkan kepada rakan sejenayah bagi menjayakan plot pembunuhan itu.
“Individu yang rapat dengan pengawal peribadi Zelenskyy ditugaskan untuk menculik dan membunuhnya, manakala Budanov akan diserang dengan roket, dron dan bom tangan anti kereta kebal,” lapor SBU.-AGENSI










