Wartawan Palestin di Gaza terima hadiah kebebasan akhbar UNESCO

Wartawan Palestin di Gaza terima hadiah kebebasan akhbar UNESCO

PEMANDANGAN udara lukisan mural penghargaan untuk wartawan Palestin di kawasan perumahan di timur London di.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)  menganugerahkan hadiah kebebasan akhbar dunia kepada semua wartawan Palestin yang membuat liputan mengenai perang di Gaza yang sudah berlarutan selama lebih enam bulan.

Wartawan Palestin yang membuat liputan di wilayah bergolak itu dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kebebasan Akhbar Dunia UNESCO/Guillermo Cano 2024, berikutan saranan juri antarabangsa profesional media.

Majlis anugerah tersebut berlangsung di Persidangan Kebebasan Akhbar Sedunia di Santiago, Chile.

“Dalam waktu kegelapan dan putus asa ini, kami ingin berkongsi mesej solidariti dan pengiktirafan yang kuat kepada wartawan Palestin yang membuat liputan mengenai krisis ini dalam keadaan yang begitu dramatik.

“Sebagai manusia, kita mempunyai hutang yang besar kepada keberanian dan komitmen mereka terhadap kebebasan bersuara,” kata Ketua Juri Antarabangsa Profesional Media, Mauricio Weibel.

Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay berkata, hadiah itu sebagai penghormatan kepada keberanian wartawan menghadapi yang keadaan sukar dan berbahaya.

Diilhamkan pada tahun 1997, pengiktirafan tahunan tersebut memberi penghormatan kepada sumbangan cemerlang pertahanan dan promosi kebebasan akhbar di mana-mana sahaja di dunia, terutamanya apabila dicapai ketika berdepan bahaya.

Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) yang berpangkalan di New York, sekurang-kurangnya 97 kakitangan media terbunuh sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu dengan 92 daripadanya adalah warga Palestin.

Serangan balas Israel terhadap Hamas membunuh sekurang-kurangnya 34,596 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Israel mendapat kritikan meluas dunia selepas penilaian yang disokong PBB menunjukkan lebih 1.1 juta rakyat Palestin menghadapi kelaparan yang teruk dengan masalah kebuluran dijangka berlaku di utara Gaza.

Kelmarin, White House berkata, sebuah jeti yang dibina oleh tentera Amerika Syarikat (AS) untuk memudahkan aliran bantuan ke wilayah itu akan dibuka dalam masa terdekat.

White House turut menerbitkan imej menunjukkan kapal logistik dan kakitangan memasang jeti terapung dari segmen keluli, di sebelah kapal Tentera Laut AS.

Bagaimanapun, PBB berkata, koridor maritim tidak boleh menggantikan penghantaran bantuan melalui darat yang merupakan satu-satunya cara untuk membawa masuk sebahagian besar bekalan yang diperlukan di Gaza.

Awal minggu ini, Israel membuka semula Lintasan Erez ke utara Gaza untuk konvoi bantuan, berikutan tekanan daripada sekutu Baratnya dan rayuan berulang kali organisasi bantuan antarabangsa.

Bagaimanapun, Jordan berkata, beberapa lori bantuannya diserang oleh peneroka Israel sebelum sampai ke persimpangan lintasan itu.

Laporan yang disokong PBB baru-baru ini menawarkan bukti statistik kukuh bahawa malapetaka kemanusiaan di Gaza sudah berubah menjadi kebuluran buatan manusia.

Pegawai Hak Asasi Manusia PBB, Volker Türk, memberitahu BBC terdapat kes munasabah Israel menggunakan kelaparan sebagai senjata perang di Gaza

Namun Israel enggan mengakui dakwaan tersebut dan menafikan mengehadkan penghantaran bantuan sebaliknya menyalahkan PBB yang kononnya gagal mengagihkannya dengan efisyen kepada penduduk terdesak di Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN