NEW YORK: Hakim yang mendengar perbicaraan kes jenayah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan denda berjumlah AS$9,000 (RM42,913) kepada beliau atas kesalahan menghina mahkamah.
Hakim, Juan Merchan berkata, beliau akan mempertimbangkan untuk menjatuhkan hukuman penjara jika Trump terus melanggar perintah larangan bersuara (gag order) berhubung tuduhan memberi bayaran kepada bintang filem lucah.
Dalam perintah bertulis, Merchan berkata, denda itu mungkin tidak mencukupi untuk menghalang ahli perniagaan itu namun menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan penalti yang lebih tinggi terhadap Trump.
“Defendan dengan ini diberi amaran bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur dengan tindakan sengaja melanggar perintah yang sah dan jika perlu dan sesuai di bawah keadaan itu, ia akan mengenakan hukuman penjara,” tulis Merchan.
Merchan sudah mengenakan gag order untuk menghalang Trump daripada mengkritik saksi dan individu lain yang terlibat dalam kes itu.
Hakim mendenda Trump AS$1,000 (RM4,767) bagi setiap sembilan kenyataan dalam talian yang melanggar perintah tersebut dengan pendakwa raya menandakan 10 muat naik yang terlibat dalam pelanggaran itu.
Siaran yang dibuat Trump antara 10 April dan 17 April, termasuk artikel menggelar bekas peguamnya, Michael Cohen sebagai ‘pembohong bersiri’ sedangkan lelaki itu dijangka menjadi saksi penting dalam perbicaraan tersebut.
Satu lagi catatan memetik seorang pakar Fox News mendakwa sebagai aktivis liberal yang menyamar dan cuba menyelinap menjadi juri.
Merchan menolak hujah Trump bahawa beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk siaran semula bahan yang tidak ditulisnya sendiri.
Merchan akan mempertimbangkan sama ada mengenakan penalti lanjut untuk kenyataan lain dan mengarahkan Trump memadamnya daripada akaun Truth Social serta laman web rasmi kempennya.
Peguam Trump, Todd Blanche berhujah bahawa kenyataan yang dipertikaikan adalah tindak balas kepada serangan politik, tetapi Merchan menegaskan Blanche tidak dapat memberikan sebarang bukti penghinaan yang ditujukan terhadap calon Presiden parti Republikan itu.
Trump mengakui tidak bersalah atas pertuduhan jenayah menutup bayaran AS$130,000 (RM618,306) sebelum pilihan raya 2016 kepada bintang lucah, Stormy Daniels supaya mendiamkan diri mengenai dakwaan pertemuan seksual mereka.-AFP










