LONDON: Saintis London menguji teknik baharu pemberian vaksin kepada kanak-kanak dalam bentuk tampalan plaster tanpa rasa sakit suntikan.
Lapor Metro UK, keputusan daripada percubaan penting itu menunjukkan plaster tersebut selamat dan berkesan untuk melindungi daripada virus campak dan rubella sama seperti suntikan jarum mikroskopik untuk menghantar vaksin melalui kulit.
Tidak seperti vaksin tradisional, tampalan tersebut tidak perlu diberikan oleh profesional perubatan terlatih dan boleh disimpan pada julat suhu lebih luas serta mudah untuk dibawa.
Percubaan vaksin baharu yang berlangsung di Gambia itu, melibatkan 45 orang dewasa di bawah umur 40 tahun, 130 kanak-kanak berusia antara 15 dan 18 bulan serta 120 bayi berumur sekitar 10 bulan.
Peserta sama ada menerima tampalan jarum mikro (MNP) yang mengandungi vaksin dan suntikan plasebo, atau MNP plasebo dan suntikan vaksin hidup bagi memastikan semua dilindungi daripada penyakit itu.
Percubaan itu diketuai oleh penyelidik dari Institut Kebersihan dan Perubatan Tropikal London (LSHTM) dan hasilnya diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet.
Pakar Pediatrik LSHTM dan Pengarang bersama kajian, Profesor Ed Clarke berkata, walaupun masih awal, hasil memberangkan daripada ujian itu menjana banyak kesan positif yang meyakinkan.
“Ia menunjukkan buat kali pertama vaksin boleh diberikan dengan selamat dan berkesan kepada bayi dan kanak-kanak menggunakan teknologi tampalan mikroarray.
“Vaksin campak adalah keutamaan tertinggi untuk menggunakan pendekatan ini, tetapi pemberian vaksin lain menggunakan tampalan mikroarray juga kini realistik dan tidak mustahil untuk dibangunkan,” katanya.
Namun jelasnya, saiz sampel kajian masih kecil dan lebih banyak penyelidikan diperlukan sebelum tampalan itu boleh diluluskan untuk kegunaan meluas.










