RALEIGH: Seorang wanita dari North Carolina terkejut menemukan sekawan 50,000 ekor lebah madu bersarang disebalik dinding rumahnya yang berusia 100 tahun.
Dalam video tular, Ashley Class menunjukkan sarang lebah yang sangat besar ditemui di bilik anak perempuannya selepas kanak-kanak itu mengadu mendengar bunyi ‘raksasa’ di dinding.
“Mimpi buruk apakah ini? Apabila anak perempuan anda mendengar raksasa di dinding, namun ternyata ia adalah bunyi dengungan lebih 50,000 ekor lebah,” kata Class pada kapsyen video tersebut di laman TikTok.
Video yang mendapat lebih sembilan juta tontonan itu menunjukkan imej dari kamera terma sarang di belakang dinding di mana kawanan lebah boleh dilihat berterbangan di atas kayu.
Class berkata, dia melihat beberapa lebah berkeliaran di sekitar rumah tetapi tidak menyangka serangga itu membuat sarang di dalam kediamannya.
“Kami ada melihat sepasang lebah ketika berada di luar bermain dengan anak-anak dan kemudian seiring berlalunya hari, kami melihat lebih banyak dan mula berfikir, itu agak pelik,” katanya kepada rancangan Good Morning America.
Suaminya, Chris Class berkata, bentuk sarang lebah gergasi itu kelihatan hampir menyerupai saiz seorang lelaki yang berdiri menghadap ke dinding.
Dipercayai lebah itu masuk melalui cerobong asap dan lubang pada paip tanah liat yang digunakan untuk memanaskan bilik di kediaman berkenaan.
Class berkata, sarang lebah itu dianggarkan sudah berusia lapan bulan dengan madu yang dihasilkan oleh koloni serangga itu seberat hampir 45.3 kilogram (kg).
Penjaga lebah, Curtis Collins yang ditugaskan menangkap serangga tersebut turut mengakui pertama kali melihat sarang sebesar itu yang menjalar dari lantai ke siling rumah.
Menurut Class, dia terpaksa menanggung kerugian sekitar 16,000 pound (RM95,182) kerana insurans kediaman tidak menampung kos kerosakan akibat serangan lebah itu.










