MOSCOW: Russia membuka kes jenayah terhadap Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dan meletakkannya dalam senarai dikehendaki, lapor agensi berita negara TASS.
TASS melaporkan, pangkalan data Kementerian Dalam Negeri Russia menunjukkan Zelenskyy berada dalam senarai dikehendaki tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Kementerian Luar Ukraine menyifatkan tindakan itu sebagai usaha terdesak Moscow selepas Presiden Russia, Vladimir Putin sendiri tertakluk kepada penangkapan di bawah waran Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Kami ingin mengingatkan anda bahawa, tidak seperti pengumuman Russia yang tidak bernilai, waran ICC untuk penangkapan diktator Russia, Putin kerana disyaki melakukan jenayah perang adalah agak nyata dan tertakluk kepada pelaksanaan di 123 negara,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Jelas kementerian itu lagi, pengumuman tersebut adalah bukti keputusasaan dan propaganda Russia yang tidak dapat memikirkan cara lain untuk menarik perhatian dunia.
Russia mengeluarkan waran tangkap untuk beberapa ahli politik Ukraine dan Eropah sejak permulaan konflik dengan Kyiv pada Februari 2022.
Polis Russia turut meletakkan Perdana Menteri Estonia, Kaja Kallas; Menteri Kebudayaan Lithuania, Simonas Kairys bersama beberapa ahli Parlimen Latvia dalam senarai dikehendaki kerana memusnahkan monumen era Soviet.
Russia juga mengeluarkan waran tangkap untuk Pendakwa Raya Britain di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan kerana menyediakan waran jenayah perang Putin tahun lalu.-REUTERS










