CHICAGO: Pelajar hebat, Dorothy Jean Tillman II dari Chicago berjaya memperoleh ijazah kedoktoran pada usia 17 tahun.
Tillman menjadi pelajar termuda memperoleh ijazah kedoktoran dalam kesihatan tingkah laku bersepadu di Universiti Arizona State selepas berjaya mempertahankan kajiannya pada Disember lalu.
“Ia satu perayaan yang indah, dan kami berharap Tillman memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar. Kisahnya merupakan sesuatu yang sangat jarang dan unik,” kata Profesor Madya, Leslie Manson kepada rancangan Good Morning America di saluran ABC.
Tillman dipanggil ‘Dorothy Jeanius’ oleh keluarga dan rakan-rakannya kerana kepintarannya menempuh alam pengajian di universiti pada usia baharu 10 tahun.
Ketika ramai rakan sebayanya menghabiskan pelajaran di sekolah menengah, ibu Tillman mendaftarkannya di College of Lake County di utara Illinois untuk mengambil jurusan psikologi dan menamatkan ijazah bersekutunya pada 2016.
Tillman kemudian memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang kemanusiaan dari Kolej Excelsior New York pada 2018.
Kira-kira dua tahun kemudian, Tillman berjaya memperoleh ijazah sarjana sains dari Kolej Perpaduan di Maine sebelum diterima pada 2021 ke dalam Program Pengurusan Kesihatan Tingkah Laku Universiti Arizona State.
Kebanyakan tugasan kelas dilakukan dari jauh atau dalam talian dan Tillman mendapat perhatian media ketika menghadiri majlis graduasi di Arizona State dan berucap pada kelas tamat pengajian semasa majlis itu.
Tillman memberitahu media, dia menghargai neneknya dan mempercayai bimbingan ibunya banyak membantunya mencapai kejayaan pendidikannya.
“Semua yang kami lakukan tidak kelihatan luar biasa kepada saya sehingga kisah pencapaian ini mula mendapat perhatian,” kata Tillman yang kini berusia 18 tahun.
“Namun kejayaan ini ada pengorbanannya. Saya tidak mempunyai perkara harian sekolah seperti tarian, gambar sekolah dan perkara seperti itu yang boleh mewujudkan hubungan rapat dengan rakan sebaya saya,” katanya.
Tillman kini merupakan Pengasas dan Ketua Eksekutif Institut Kepimpinan STEAM Dorothyjeanius, program pendidikan termasuk kem musim panas yang direka untuk membantu golongan muda dalam mata pelajaran seni dan STEM.-AP










