BERLIN: Parti politik di Jerman menggesa pemberian subsidi untuk kebab berikutan kebimbangan harga hidangan itu boleh melonjak melepasi 10 euro (RM50.98).
Kos kebab menjadi bahan jenaka dalam politik Jerman, dengan Canselor, Olaf Scholz menyatakan bahawa ke mana-mana sahaja beliau pergi pasti akan ada soalan ditanya mengenainya.
Parti haluan kiri Jerman dilaporkan mencadangkan menggunakan dana negara untuk mengehadkan harga kebab sekitar 4.90 euro (RM24.97) dengan 2.50 euro (RM12.74) ditetapkan untuk golongan muda.
Purata harga roti pita berinti daging yang merupakan satu daripada hidangan kebangsaan de facto Jerman itu kini sekitar 7.9 euro (RM40.27) dan dijangka meningkat akibat inflasi.
“Apabila orang muda menuntut supaya Scholz bantu jadikan kebab lebih murah, maka ia bukan jenaka internet, tetapi tangisan yang serius untuk meminta pertolongan!
“Negara mesti campur tangan supaya makanan tidak menjadi barang mewah, ” kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Parti Die Lirke, Kathi Gebel kepada akhbar BILD.
Akhbar itu memetik laporan daripada pihak Gebel, yang mengatakan 1.3 bilion kebab dimakan di Jerman setiap tahun dan subsidi yang dicadangkan berpotensi menelan kos hampir empat bilion euro (RM20.39 bilion).
Katanya, sewa dan kos elektrik untuk kedai kebab meningkat, menaikkan harga untuk pengguna.
Di United Kingdom (UK), penduduk yang membeli makanan bawa pulang menghadapi harga yang melambung tinggi, dengan syarikat penghantar makanan, Deliveroo berkata, inflasi makanan mengatasi inflasi gaji kira-kira dua kali ganda pada Mac lalu.










