Lebih 9,000 penduduk berhampiran Gunung Ruang dipindahkan

Lebih 9,000 penduduk berhampiran Gunung Ruang dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Sebanyak 9,083 penduduk di Pulau Tagulandang yang tinggal dalam lingkungan tujuh kilometer (km) dari pusat letusan Gunung Ruang di Sulawesi Utara mula dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

Pemindahan itu dibuat berikutan saranan daripada Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana (PVMBG) selepas kawasan bahaya akibat letusan gunung berapi itu diperluaskan.

Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Lt. Jeneral Suharyanto berkata, sehingga kini seramai 3,364 orang sudah dipindahkan dari Pulau Tagulandang.

Sementara itu, masih terdapat 5,719 orang dalam proses pemindahan yang sedang dijalankan secara berperingkat dan dijangka selesai dalam tempoh tiga hari lagi.

Lapor Antara News, proses pemindahan dilakukan menggunakan lebih sembilan armada kapal dan penduduk akan dihantar ke sebuah pos sementara di Pulau Siau.

Suharyanto berkata, terdapat tujuh pusat pemindahan disediakan dan dianggarkan mampu menempatkan sehingga 12,000 penduduk.

Menurut Suharyanto, letusan Gunung Ruang masih memberi impak dan mengganggu laluan trafik di tujuh lapangan terbang terdekat iaitu Lapangan Terbang Sam Ratulangi, Djalaludin Gorontalo, Naha, Siau, Lolak, Miangas dan Melonguane.

Sementara itu, Gabenor Sulawesi Utara, Olly Dondokambey berkata, beliau akan menempatkan semula dua kampung berhampiran Gunung Ruang iaitu Kampung Laingpatehi dan Pumpente.

“Kami ambil perhatian bahawa dua kampung di Gunung Ruang mesti dikosongkan. Saya sudah berkoordinasi dengan Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan dan Menteri Setiausaha Kerajaan Negeri. Mereka bersetuju untuk kami berpindah,” katanya.

Katanya, kampung yang akan dijadikan lokasi perlindungan ialah Likupang dan Pulau Mongondow Selatan dengan jaraknya dianggarkan tiga jam perjalanan dari Bandar Manado.

Lokasi itu dilihat selamat daripada kesan letusan Gunung Ruang dan sesuai dengan latar belakang masyarakat daripada etnik hinggalah kepada nilai sosiobudaya.

Sejak beberapa hari lalu, gunung berapi tersebut mengeluarkan awan panas dan beberapa letusan yang dikhuatiri memberi kesan buruk kepada manusia dan kehidupan di sekitarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN