KABUL: Lebih 200 orang terbunuh dalam banjir kilat yang melanda beberapa wilayah Afghanistan, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pihak berkuasa mengisytiharkan darurat dan bergegas menyelamatkan mangsa yang cedera.
Hujan lebat sejak semalam menyebabkan sungai melimpah dan banjir lumpur di kawasan perkampungan dan tanah pertanian di beberapa wilayah, dengan utara Baghlan antara yang paling teruk terjejas.
“Di Baghlani Jadid, sehingga 1,500 rumah rosak atau musnah dan lebih 100 orang maut,” kata Pegawai Program Kebangsaan yang mengetuai operasi kecemasan, Mohammad Fahim Safie.
Hujan lebat dan banjir besar turut menyebabkan kerosakan teruk struktur binaan dan ribuan rumah di timur laut wilayah Badakhshan, Ghor tengah dan barat Herat.
Tentera udara berkata, pihaknya sudah memulakan operasi pemindahan ketika cuaca mulai cerah dan berusaha membawa lebih 100 orang yang cedera ke hospital.
“Dengan mengumumkan darurat di beberapa kawasan, kementerian pertahanan mula mengagihkan makanan, ubat-ubatan dan pertolongan cemas kepada mereka yang terjejas,” katanya.
Rakaman video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan aliran besar air berlumpur membanjiri jalan raya dengan mayat diselubungi kain putih dan hitam.
Afghanistan mengalami musim sejuk yang agak kering, menjadikan tanahnya lebih sukar menyerap hujan dan sangat terdedah kepada perubahan iklim.-AFP










