Gelombang protes Pro-Palestin di universiti AS cetus konflik kebebasan bersuara

Gelombang protes Pro-Palestin di universiti AS cetus konflik kebebasan bersuara

RATUSAN anggota polis menyerbu khemah penunjuk perasaan pro-Palestin di dataran UCLA di Los Angeles, California.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Kekacauan semakin memuncak di lebih 100 kampus di Amerika Syarikat (AS) berikutan protes Pro-Palestin yang turut mencetus konflik tentang cara pihak berkuasa mengimbangi hak kebebasan bersuara dan keperluan untuk menyediakan ruang selamat kepada golongan pelajar.  

PROTES MEMUNCAK

Polis dilaporkan menggunakan kekerasan untuk mengeluarkan ratusan penunjuk perasaan di beberapa kolej termasuk menurunkan perkhemahan di Universiti California di Los Angeles (UCLA).

Pada waktu sebelum subuh, polis bertopi keledar mengerumuni khemah yang didirikan di universiti tersebut menggunakan alat dentuman dan peralatan anti rusuhan untuk menolak barisan penunjuk perasaan yang berkumpul di kawasan berkenaan.

Polis dilihat berulang kali menggesa penunjuk perasaan untuk mengosongkan zon protes di plaza tengah universiti sebesar padang bola itu, sebelum bergerak masuk.

Beberapa penunjuk perasaan dilihat memakai topi, cermin mata dan topeng pernafasan selepas mereka menjangkakan kepungan sehari selepas universiti mengisytiharkan perkhemahan itu menyalahi undang-undang.

Menjelang pagi, plaza itu dipenuhi dengan sisa-sisa perkhemahan, selimut, bekas makanan, bendera Palestin dan topi keledar yang musnah.

Polis Los Angeles berkata, lebih 210 orang ditangkap di UCLA, dan ratusan tangkapan turut dibuat di universiti lain sejak semalam.

Di Oregon, polis memasuki perpustakaan Universiti Negeri Portland di mana penunjuk perasaan berkumpul sejak Isnin lalu. 

Polis dilaporkan turut menahan kira-kira 100 penunjuk perasaan dalam insiden berasingan di Universiti Dartmouth dan Universiti New Hampshire dengan menyerbu dan memusnahkan perkhemahan penunjuk Pro-Palestin.

Pelajar di sekitar AS berhimpun atau mendirikan khemah di berpuluh-puluh universiti bertujuan membantah perang Israel ke atas Gaza. 

BANTAH SOKONGAN KEPADA ISRAEL

Penunjuk perasaan turut menggesa Presiden Joe Biden yang menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri, supaya melakukan lebih banyak usaha menghentikan pertumpahan darah di Gaza.

Kumpulan tersebut turut menuntut institusi pengajian menolak kerjasama dengan syarikat yang menyokong kerajaan Israel.

Puluhan universiti di AS, termasuk Universiti Columbia di New York City memanggil polis untuk menghentikan protes yang semakin memuncak sejak minggu lalu.

Demonstrasi di beberapa kampus mula bertukar ganas selepas bertembung dengan penunjuk perasaan balas yang menuduh mereka mencetuskan kebencian anti-Yahudi. 

Pihak pro-Palestin, termasuk beberapa orang Yahudi yang menentang tindakan rejim Zionis di Gaza berkata, mereka secara tidak adil dicap sebagai antisemitik kerana mengkritik kerajaan Israel dan menyatakan sokongan terhadap hak asasi manusia.

Canselor UCLA, Gene Block dalam satu kenyataan bertulis berkata, pegawainya membenarkan perkhemahan itu kekal di kampus berkenaan selama beberapa hari kerana dilihat aman pada mulanya, tetapi pertempuran dengan orang ramai yang pro-Israel jelas meletakkan pelajar dalam bahaya.

“Ia membawa kepada keadaan tidak selamat di kampus kami dan ia merosakkan keupayaan kami untuk melaksanakan misi kami jadi ia perlu berakhir,” katanya.

Biden memecah kesunyian mengenai demonstrasi tersebut apabila membuat kenyataan menegaskan, rakyat AS mempunyai hak untuk membantah tetapi tidak sepatutnya melakukan keganasan.

“Memusnahkan harta benda bukan protes aman. Ia melanggar undang-undang. Vandalisme, menceroboh, memecahkan tingkap, menutup kampus, memaksa pembatalan kelas dan graduasi bukanlah protes aman,” katanya di White House.

Biden yang dijangka bakal berentap dengan bekas Presiden Republikan, Donald Trump pada pilihan raya November ini dilihat sangat berhati-hati mengeluarkan kenyataan ketika berdepan kritikan hebat berikutan sokongannya terhadap Israel.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN