CARDIFF: Seorang wanita terkejut selepas berjaya menemukan semula cincin pertunangannya yang hilang 54 tahun lalu.
Marilyn Birch dan suaminya, Peter yang tinggal di Pontardawe di Neath-Port Talbot, memberitahu Sky News ia adalah pertemuan semula yang penuh emosi.
Marilyn, 76, kehilangan cincin itu semasa memberi makan lembu di ladang keluarganya pada tahun 1970.
“Saya terus mencari hampir setiap hari, berharap saya akan ternampak di suatu tempat. Akhirnya kami berputus asa dan merasakan tidak akan melihat cincin pertunangan itu lagi,” katanya.
Tetapi baru-baru ini pakar pengesan, Keith Phillips dipanggil untuk meneroka tanah itu untuk mendapatkan khazanahnya.
“Dia pernah menunjukkan kepada kami pelbagai syiling dan kepingan yang ditemukan di pelbagai bahagian ladang.
“Suatu petang saya berkata kepadanya namun sekadar gurauan meminta dia mencari cincin pertunangan saya yang hilang itu.
“Kami tertawa ketika itu tetapi seminggu kemudian Phillips menelefon semula memberitahu dia sudah menjumpai cincin saya tertanam lebih 20 sentimeter (cm) di satu kawasan di ladang kami,” katanya.
Marilyn memberitahu, dia segera membersihkan tanah yang melekat dengan berus gigi dan cincin tersebut tidak terlepas dari jarinya sejak itu.
“Saya sebenarnya sangat terkejut. Kami sangat terharu, malah Keith juga agak beremosi mengenainya kerana dia sangat gembira berjaya menemukan cincin ini untuk saya,” katanya.










