NAYPYIDAW: Bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen berkata, beliau sudah meminta ketua junta Myanmar untuk mengadakan pertemuan video dengan pemimpin awam yang dipenjarakan, Aung San Suu Kyi.
Hun Sen, yang memerintah Kemboja selama empat dekad sebelum berundur tahun lalu, mengadakan rundingan video dengan Min Aung Hlaing kelmarin ketika tentera bergelut untuk memadamkan tentangan yang meluas terhadap pemerintahannya.
Pemenang Hadiah Nobel itu sedang menjalani hukuman 27 tahun yang dijatuhkan oleh mahkamah junta dalam perbicaraan yang dikecam oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai satu penipuan untuk menghalangnya daripada menyertai politik.
Dalam satu catatan di Facebook, Hun Sen mengakui menggunakan panggilan itu untuk sekali lagi meminta Aung Hlaing mempertimbangkan untuk menganjurkan pertemuan video antara beliau dan Suu Kyi dengan tujuan bertanya khabar.
Bekas pemimpin berusia 78 tahun itu disembunyikan daripada pandangan awam sejak ditahan selepas jeneral tentera merampas kuasa dan sebarang pertemuan dengan Hun Sen akan menjadi langkah penting terhadap masa depan negara itu.
Sejak penahanannya pada Februari 2021, satu-satunya pertemuan beliau dengan utusan asing berlaku pada Julai tahun lalu, apabila Menteri Luar Thailand ketika itu, Don Pramudwinai berkata, beliau bertemu dengan Suu Kyi selama lebih sejam.
Hun Sen, yang kini berkhidmat sebagai Ketua Senat Kemboja, adalah pemimpin asing pertama yang melawat Myanmar selepas rampasan kuasa dan dilaporkan pergi ke sana pada 2022.
“Aung Hlaing berjanji untuk mempertimbangkan permintaan untuk bercakap dengan Suu Kyi dengan perhatian tertinggi,” kata catatan Facebook Hun Sen.
Sehingga kini, junta menolak pelbagai permintaan pemimpin dan diplomat asing untuk bertemu Suu Kyi, termasuk daripada blok serantau ASEAN.
ASEAN menerajui usaha untuk mencari penyelesaian diplomatik kepada konflik yang semakin memuncak di Myanmar, dengan sedikit kejayaan.
Menurut kumpulan pemantau tempatan, lebih 4,900 orang terbunuh dan lebih 26,000 yang lain ditangkap dalam tindakan keras tentera terhadap pembangkang sejak rampasan kuasa berlaku.-AFP










