COLUMBUS: Syarikat Throwflame yang berpangkalan di Ohio, baru-baru ini melancarkan Thermonator, anjing robot kawalan jauh yang dilengkapi penyembur api canggih di belakangnya.
Lapor Oddity Central, Thermonator ialah robot penyembur api berkaki empat yang dibangunkan bersama pelontar api ARC Throwflame dengan jarak tembakan sekitar 9.14 meter.
Ia boleh digunakan untuk pelbagai tugasan termasuk pengurusan kebakaran hutan, kebakaran pertanian, penyingkiran salji dan ais serta kesan khas.
Robot berkenaan awalnya diperkenalkan dalam video YouTube yang tular tahun lalu dan kini tersedia untuk prapesanan di laman web rasmi Throwflame dengan harga AS$9,420 (RM44,909).
Dipasarkan sebagai ‘rakan kuasa api utama anda’, anjing robot kontroversi itu turut menampilkan sambungan Wifi dan Bluetooth untuk kawalan jauh melalui telefon pintar, serta penderia Lidar bagi pemetaan persekitaran, penglihatan laser dan mengelak halangan.
Walaupun tidak dianggap sebagai senjata api, liabiliti produk dan undang-undang jenayah masih terpakai untuk penggunaannya termasuk di Maryland yang memerlukan lesen untuk memiliki dan beroperasi sementara di California, julat penyembur api tidak boleh melebihi 3.05 meter.
Throwflame mengumumkan akan menghantar penyembur api dengan muncung yang lebih kecil bagi mematuhi peraturan di California.
Video tular tentang kegunaan robot tersebut juga mendapat pelbagai reaksi warganet yang rata-rata khuatir ia boleh menyebabkan kemudaratan jika disalah guna.
“Tidak dapat dinafikan bahawa Thermonator memang mempunyai faktor mengagumkan itu, tetapi adakah ia benar-benar alat yang anda mahu letakkan di tangan sesiapa sahaja?
“Adakah pemilik akan bertanggungjawab jika robot ini memulakan kebakaran hutan atau membakar rumah jiran mereka?” tanya seorang pengguna laman X.










