WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menegaskan pihaknya sangat bimbang dengan latihan ketenteraan yang dilakukan China di Selat Taiwan dan sekitar pulau tersebut, menggesa kedua-dua pihak mengekang ketegangan yang semakin memuncak.
“Menggunakan peralihan biasa, rutin dan demokratik sebagai alasan untuk provokasi ketenteraan berisiko meningkat dan menghakis norma yang selama beberapa dekad sudah mengekalkan keamanan serta kestabilan di seluruh Selat Taiwan,” kata Jabatan Negara dalam satu kenyataan.
Jabatan Negara AS mengeluarkan kenyataan itu selepas China menamatkan dua hari latihan perang di sekitar Taiwan.
China dilaporkan menjalankan simulasi serangan dengan pesawat pengebom dan latihan perkapalan yang dikutuk Taiwan sebagai provokasi secara terang-terangan.
China yang mendakwa mentadbir Taiwan secara demokratik sebagai wilayahnya sendiri, melancarkan latihan ‘Pedang Bersama – 2024A’ tiga hari selepas perlantikan rasmi Lai Ching-te sebagai Presiden Taiwan.
Beijing menggelar Ching-te sebagai pemisah dan mendakwa latihan itu adalah hukuman untuk ucapannya Isnin lalu yang menegaskan kedua-dua belah Selat Taiwan tidak akan tunduk antara satu sama lain.
Ucapan itu dilihat China sebagai pengisytiharan kedua-duanya adalah negara yang berasingan.-REUTERS










