BANGKOK: Strok haba mengorbankan 61 orang di Thailand setakat tahun ini, meningkat daripada jumlah keseluruhan tahun lalu, lapor kementerian kesihatan.
Gelombang haba luar biasa melanda seluruh wilayah negara itu sejak beberapa minggu lalu, mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran mengenai cuaca panas terik hampir setiap hari.
Kementerian kesihatan berkata, 61 orang meninggal dunia akibat strok haba sejak awal 2024, berbanding 37 orang pada keseluruhan 2023.
Jelasnya, timur laut Thailand yang menjadi kawasan utama pertanian menyaksikan jumlah kematian tertinggi.
Para saintis sudah lama memberi amaran perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia akan menghasilkan gelombang haba yang lebih kerap, lebih lama dan lebih kuat.
Menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), walaupun fenomena El Nino membantu memacu cuaca luar biasa panas tahun ini, Asia juga mengalami pemanasan lebih cepat daripada purata global.
Timbalan Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Apichart Vachiraphan memberi amaran kepada orang yang mempunyai masalah kesihatan untuk mengehadkan masa mereka di luar rumah.
Kerajaan itu tahun ini mengalami musim tengkujuh berpanjangan, dengan cuaca panas terik bertahan lebih lama daripada biasa.
Ribut melanda beberapa wilayah minggu ini, menurunkan suhu tetapi membawa amaran daripada pihak berkuasa tentang kemungkinan banjir kilat.
Bulan lalu, Thailand merekodkan suhu 44.2 darjah Celsius di wilayah utara Lampang, hanya sedikit daripada rekod kebangsaan sepanjang zaman 44.6 darjah Celsius tahun lalu.-AFP










