KYIV: Ukraine mendakwa berjaya menembak jatuh pesawat pengebom strategik Russia buat kali pertama selepas ia melancarkan serangan udara jarak jauh yang mengorbankan lapan orang termasuk dua kanak-kanak di wilayah tengah Dnipropetrovsk.
Menurut agensi perisikan tentera GUR Ukraine di laman webnya, pesawat pengebom dengan reka bentuk era Soviet, Tu-22M3 dijatuhkan kira-kira 300 kilometer di dalam Russia.
“Buat pertama kali unit peluru berpandu antipesawat tentera udara dengan kerjasama perisikan pertahanan Ukraine, memusnahkan pengebom strategik jarak jauh Tu-22M3,” kata tentera Ukraine dalam satu kenyataan Jumaat lalu.
Ketua Direktorat Perisikan Utama GUR, Kyrylo Budanov berkata, pasukannya menjatuhkan pesawat perang itu dengan cara yang sama Kyiv menembak jatuh pesawat amaran awal dan kawalan awal A-50 Russia awal tahun ini.
Sumber perisikan memberitahu, pesawat itu ditembak menggunakan sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara jarak jauh era Soviet S-200 yang diubah suai.
Rakaman yang tular di media sosial turut menunjukkan sebuah kapal terbang perang dengan ekornya terbakar berpusing ke arah tanah.
Bagaimanapun, agensi berita Russia memetik kementerian pertahanan melaporkan, pesawat itu terhempas di kawasan terpencil di wilayah Stavropol akibat kerosakan yang mengorbankan seorang juruterbang.
Kehilangan pesawat itu menandakan kelemahan baharu bagi tentera Presiden Russia, Vladimir Putin yang bergantung kepada pengebom era Perang Dingin sebagai senjata utama dalam kempen peluru berpandunya terhadap Ukraine.
Tu-22 supersonik boleh melancarkan serangan dari jauh di dalam Russia, menjadikannya sukar untuk dikesan pertahanan udara Ukraine.-REUTERS/AGENSI










