NEW YORK: Sebanyak 60 juri berpotensi untuk perbicaraan kes jenayah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di New York terpaksa ditolak selepas mengakui sukar untuk mengelak bersikap berat sebelah terhadap beliau.
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa menyalurkan pembayaran wang secara rahsia kepada seorang bintang pornografi, Stormy Daniels dengan memalsukan rekod perniagaan.
Pejabat Peguam Daerah Manhattan mendakwa Trump mengarahkan bekas peguamnya, Michael Cohen membayar Daniels AS$130,000 (RM623,000) sebagai pertukaran untuk berdiam diri mengenai dakwaan pertemuan seksual.
Pendakwa Raya berkata, tindakan itu dilakukan bagi ‘mempengaruhi secara tidak sah’ kempen Pilihan Raya 2016.
Daniels, pelakon dan pengarah filem lucah terkenal dengan nama sebenarnya Stephanie Clifford berkata, dia menerima wang itu sebagai pertukaran untuk menutup mulut mengenai pertemuan seksual antara dirinya dan Trump pada 2006.
Bagaimanapun, Trump yang merupakan ahli perniagaan syarikat hartanah menafikan mempunyai hubungan sulit dengan mana-mana wanita.
Perbicaraan kes jenayah itu bermula dengan lebih separuh daripada kumpulan juri berpotensi ditolak dalam beberapa minit atas alasan berat sebelah.
Hakim bermula dengan menolak juri yang mengangkat tangan mengatakan mereka tidak boleh memihak, meninggalkan hanya kira-kira 34 orang yang layak.
Pengguguran itu menunjukkan betapa mencabarnya untuk mencari 12 juri yang mampu mengadili kes berkaitan skandal seks berprofil tinggi melibatkan bekas Presiden yang bertanding sekali lagi dalam Pilihan Raya Presiden AS.
Trump dikehendaki menghadiri perbicaraan yang dijangka berlangsung hingga Mei depan.
Tahun lalu, beliau mengaku tidak bersalah atas 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan dalam kes yang dibawa oleh Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg. -AGENSI










