WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pertuduhan jenayah dan sekatan terhadap empat warga Iran berhubung kempen serangan siber sejak beberapa tahun lalu yang didakwa menyasarkan lebih 12 syarikat di negara itu.
Jabatan Perbendaharaan dan Jabatan Negara AS berkata, sekatan juga diumumkan terhadap dua syarikat, Mehrsam Andisheh Saz Nik dan Dadeh Afzar Arman yang menggaji defendan individu dan syarikat berkaitan Pengawal Revolusi Iran (IRG).
Pendakwa raya persekutuan di Manhattan berkata, sasaran utama syarikat korporat itu adalah kontraktor pertahanan yang mempunyai akses kepada maklumat sulit termasuk firma perakaunan dan syarikat perhotelan yang berpangkalan di New York.
Jelasnya, defendan menggodam komputer dengan perisian hasad menggunakan spearfishing, yang melibatkan tindakan menipu penerima emel supaya menekan pautan berniat jahat dan menyamar sebagai wanita untuk mendapatkan keyakinan orang ramai.
“Lebih 200,000 akaun pekerja terjejas di firma perakaunan dan hampir 2,000 lagi di syarikat hospitaliti. Dakwaan salah laku itu berlaku antara 2016 dan 2021.
“Aktiviti jenayah yang berasal dari Iran menimbulkan ancaman besar kepada keselamatan negara dan kestabilan ekonomi AS,” kata Peguam Negara AS, Merrick Garland dalam satu kenyataan.
Menurut pendakwa raya, defendan individu, Hossein Harooni, Reza Kazemifar, Alireza Nasab dan Komeil Salmani semuanya berusia pertengahan hingga lewat 30-an dan masih bebas.
“Masing-masing didakwa dengan konspirasi penipuan wayar dan konspirasi untuk melakukan pencerobohan komputer.
“Hossein juga didakwa kerana merosakkan komputer yang dilindungi dan dia bersama Nasab turut didakwa atas kecurian identiti yang lebih teruk,” katanya.-REUTERS










